Idea Kerajaan Perikatan Nasional ingin melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhad di Lembang Kelang atau negeri-negeri tertentu tidak menyelesaikan rantaian penularan Covid 19 secara menyeluruh.
Mantan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata PKP pernah dilakukan pada Mac tahun lalu, biarpun berjaya memutuskan rangkaian Covid namun tidak menjamin jangkitan akan berakhir.
PKP juga katanya akan mengakibatkan kesan besar ke atas ekonomi yang mungkin menyebabkan lebih banyak perniagaan gulung tikar, terutama sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana.
“Penggunaan PKP secara meluas merupakan satu kaedah tumpul, walaupun berkesan tetapi membawa impak negatif yang besar. Kerugian kerana PKP seluruh negara pada Mac – Jun 2020 sebanyak RM 2,600 juta sehari apabila aktiviti ekonomi mengecut 50%.
“Sekiranya PKP dilaksanakan di Lembah Kelang sahaja, kerugian sehari dijangka melebihan RM 1,000 juta sehari!
“Sebenarnya PKP secara meluas boleh dielakkan. Penularan Covid 19 boleh dikawal dengan PKP Diperketat bersasar, di samping ujian Covid 19 secara massa serta pengesanan, ujian dan pengasingan kontak rapat dalam tempoh 48 jam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Dr Lee lagi, alternatif kepada PKP adalah menambah kakitangan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dengan penambahan kakitangan tersebut, katanya, ujian dapat dijalankan dalam skala lebih besar ke atas penduduk Malaysia dan KKM akan punya cukup kakitangan untuk melakukan pengawalseliaan rapi ke atas kontak rapat pesakit agar tidak menjangkiti warga yang sihat.
“Kerajaan harus menubuhkan satu rangkaian petugas khas pengesanan kontak di seluruh negara, di mana anggotanya terdiri daripada 10,000 anggota tambahan Di Bahagian Kesihatan Awam KKM dengan kerjasama pemimpin masyarakat tempatan.
“Petugas khas ini boleh dilatih dan dibimbing oleh Pegawai Kesihatan Awam untuk pengesanan kontak, untuk memastikan kontak mematuhi perintah kuarantin, untuk memastikan perniagaan mematuhi SOP, untuk membantu ‘mass testing’ dan sebagainya. Mereka boleh diambil dari kalangan graduan yang menganggur dan mereka yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid 19,” katanya.
Tambah Dr Lee, kos upah untuk 10,000 tenaga kerja tambahan tersebut tidak begitu besar berbanding kerugian harian yang terpaksa ditanggung oleh sektor ekonomi apabila PKP dilaksanakan.
“Apakah implikasi Kos untuk mengambil 10,000 graduan sebagai Petugas Khas Covid 19?
“Dengan anggaran kos (gaji atau elaun) RM2,500 sebulan untuk setiap petugas, jumlah kos keseluruhan adalah RM 300 juta setahun dan jumlah ini jauh lebih rendah daripada kerugian ‘lockdown’!” katanya.
Sehubungan itu, Dr Lee merayu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar mengarahkan pengambilan petugas khas tersebut secara kontrak dengan kadar segera dalam pengumuman khas pada 11 Januari ini.
PKP dicadang dilaksanakan semula ketika jumlah kes harian baharu mungkin melebihi 5,000 menjelang akhir Mei 2021 mengikut unjuran KKM. Gelombang ketiga ini dianggap tsunami yang membawa impak di luar jangkaan.