Menyedari beberapa usul yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 30 – 31 Januari ini mungkin menggugat survival kerajaan Perkatan Nasional (PN), Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin mungkin menggunakan helah pandemik Covid 19 bagi menggugat pengajuran persidangan tersebut.
Bagi Wanita KEADILAN, sekiranya Muhyiddin dan pemimpin PN lainnya ‘anak jantan’ maka PAU wajar dibenarkan berlangsung tanpa gangguan dalam membahaskan semua usul dari akar umbi parti berkenaan.
Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean mencabar Muhyiddin agar tidak menggunakan alasan Covid 19 bagi menghalang PAU.
“Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan pada 7 Januari 2021 mengumumkan bahawa usul untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekaligus mempertahankan kerjasama dengan Pas akan dibawa ke PAU pada 31 Januari 2021.
“Berdasarkan perkembangan ini, Wanita KEADILAN mencabar PM merangkap Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin membenarkan PAU berlangsung tanpa menggunakan sebarang helah politik termasuk alasan wabak Covid-19.
“Wanita KEADILAN melontarkan cabaran ini mengambil iktibar daripada insiden persembahan cadangan pengisytiharan darurat di seluruh negara ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 2020 oleh PM demi kepentingan politik peribadinya ketika itu,” katanya Ker Chean satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, sikap Muhyiddin dan pemimpin PN perlulah berubah memasuki dekad baharu. Mereka perlu menyedari ketidakstabilan kerajaan PN dalam mentadbir negara.
Kemelut persekongkolan PN yang masih tidak usai sejak tercetusnya Langkah Sheraton, kata Ker Chean, telah merencatkan usaha memerangi wabak Covid -19 sekaligus menjejaskan keyakinan pelabur luar untuk melabur.
PM Muhyididn, katanya, perlu mengutamakan penyelesaian kemelut berkenaan dengan menerima keputusan PAU kelak, sama ada Umno akan kekal menyokong beliau atau tidak selaku PM dengan majoriti paling tipis dalam sejarah Malaysia.
“Negara ini telah menunjukkan teladan yang terbaik kepada dunia, terutamanya negara-negara yang mendukung sistem demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu apabila peralihan kuasa yang aman dan damai berlaku.
“Wanita KEADILAN berharap agar Muhyiddin tidak mencontohi Presiden Amerika Syarikat Donald Trumph yang enggan memudahkan proses peralihan kuasa sehingga menyebabkan tragedi berlaku di negara itu kebelakangan ini.
“Saya menyeru PM supaya mengizinkan peralihan kuasa berlaku dengan aman sekiranya beliau kehilangan sokongan Umno menerusi PAU pada hujung bulan ini,” katanya lagi.
Perhimpunan Agung Umno dijangka akan membuat ketetapan mengenai hubungan parti itu dengan Bersatu. Sama ada kerjasama akan diteruskan sehingga PRU ke 15 atau akan dihentikan serta merta bergantung kepada persetujuan perwakilan dalam PAU pada hujung bulan ini.