Lim Guan Eng menyelar Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan kerana mengulas isu desakan parti itu untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) dengan membuat perbandingan di antara tukang parut kelapa dengan pemegang ijazah doktor falsafah (PhD).
Kata setiausaha agung DAP itu, kenyataan Ahmad itu adalah suatu kesombongan dan menghina pekerja biasa yang menolak idea agar PRU diadakan semasa Covid-19 masih mengancam.
“Ucapan menghina Ahmad terhadap pekerja biasa yang menentang tuntutan Umno untuk PRU menunjukkan betapa jauhnya pemimpin Perikatan Nasional (PN) terputus dengan penderitaan dialami rakyat biasa.
“Ahmad dengan sombong menyatakan bahawa hanya orang berpendidikan PhD saja yang akan memahami keperluan PRU awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, dalam program wacana ilmu bersama Umno Perak yang disiarkan di Facebook, Ahmad berkata dia ditunjukkan temu bual media dengan seorang pemarut kelapa yang tidak bersetuju PRU diadakan kerana Covid-19.
“Saya dipertontonkan dengan Astro Awani atau TV3, tidak pasti, dia ada temu bual seorang pemarut kelapa. Tak pastilah (individu) itu daftar undi atau tidak. Dia cakap tak boleh lakukan PRU kerana Covid-19.
“Tapi saya jawab kenapa perlu PRU… kerana banyak negara yang sudah lakukan antaranya di Amerika Syarikat, Singapura dan kita juga dah laksana pilihan raya kecil (PRK) di Chini, Slim dan pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
“Sabah itu kes tinggi pun punca mereka kerana orang-orang pulau naik motorbot mereka masuk tanpa saringan dan sebagainya. Itu antara punca saya difahamkan, dan ia merebak di pulau sekitar itu.
“Kita perlukan PRU kerana kerajaan ini juga merupakan kerajaan yang paling tipis (majoriti) di dunia. Kerusi parlimen ada 222, kalau nak jadi kerajaan kena ada 111 campur satu (kerusi) lagi minima. Ha… dan itu yang kerajaan Malaysia ada sekarang.
“Rasanya yang parut kelapa tadi itu dia tidak perasan, yang ditemu bual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah hanya lepasan sekolah tinggi kot.
“Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD, saya rasa dia boleh ulas dengan lebih tepat,” kata Ahmad.
Krisis terbesar dalam sejarah
Program berkenaan dianjurkan Umno Tanjung Malim.
Ucapan Ahmad itu dibidas sebahagian pengguna media sosial yang tidak menyambut baik pandangannya.
Ahmad juga sebelum itu mendakwa salah satu sebab utama Umno tidak berpuas hati dengan kerajaan PN adalah kerana langkah gabungan berkenaan meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan para pemimpinnya.
Katanya faktor itu mengatasi faktor tidak puas hati mereka terhadap pengagihan jawatan.
Dia menggambarkan kes-kes tersebut adalah “kezaliman” zaman PH dan apabila kes tersebut diteruskan di mahkamah, sebab itulah, PRU perlu diadakan untuk memilih kerajaan baru.
Tengku Adnan Tengku Mansor
Lim berkata dia teringat amaran Pengarah Urusan dan Ketua Ekuiti Credit Credit Suisse Malaysia Stephen Hagger bulan lalu tentang kesan mengabaikan penurunan penarafan kredit negara oleh Fitch Ratings.
Katanya, peringatan seperti itu tidak pernah dikeluarkan baik oleh Hagger atau pakar kewangan lain semasa negara ditadbir Pakatan Harapan (PH).
Bulan lalu, Hagger mengulas keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kes rasuah bernilai RM1 juta.
Katanya keputusan tersebut menimbulkan kerisauan Credit Suisse Malaysia.
Turut menyentuh dua lagi kes DNAA membabitkan anak tiri Najib Razak – Riza Aziz – dan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, Hagger berkata, ia “jelas” melibatkan kepentingan awam digugurkan, dan kesannya dapat dilihat daripada penurunan penarafan oleh Fitch Rating Inc.
Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar dari Umno juga mengkritik kenyataan awal Ahmad dan menggesanya tidak menggambarkan Umno kecewa dengan kerajaan PN kerana isu mahkamah.
Kata Khairy, kenyataan seperti dibuat ahli parlimen Pontian itu memberi gambaran seolah-olah Umno ingin melihat berlaku campur tangan pihak eksekutif dalam proses kehakiman.
Lim turut membidas PN yang katanya bertanggungjawab memburukkan krisis kesihatan awam dengan peningkatan jangkitan Covid-19 dan tidak mampu menangani jangkaan kenaikan kes sehingga 8,000 sehari.
Katanya, PN lebih mementingkan kelangsungan politik berbanding negara.
“Setiap hari kita melihat ahli parti komponen PN daripada Umno, Bersatu dan PAS mengadakan mesyuarat tergempar, bukan untuk membincangkan Covid-19, tetapi bagaimana mereka dapat memperbaiki hubungan antara sekutu mereka dalam PN.
“Sangat tidak bertanggungjawab bagi para pemimpin Umno untuk menuntut PRU awal di tengah-tengah krisis terbesar dalam sejarah negara ini,” katanya lagi.
Lim turut mencadangkan PN mengadakan pertemuan dengan semua parti politik untuk membincangkan krisi Covid-19 menerusi sidang tergempar parlimen yang katanya jalan terbaik untuk mengumpul sokongan rakyat dan menjalin perpaduan nasional bagi mengatasi wabak itu.