KUALA LUMPUR: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mahu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memudahkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka secara sekali bayar berjumlah RM10,000 tanpa sebarang syarat.
Beliau berkata, pada saat rakyat sedang dihimpit kesempitan kerana berdepan pandemik Covid-19, amat wajar institusi itu memudah dan menyantuni keperluan mereka.
“Saya mendengar serta membaca semua keluhan dan suara hati rakyat yang kecewa dengan syarat-syarat dikenakan KWSP berkenaan pengeluaran i-Sinar Akaun 1 KWSP.
“Ternyata nada pengurusan KWSP amat berbeza dengan harapan positif yang diberikan Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz) ketika sesi penggulungan peringkat dasar Belanjawan 2021 tempoh hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahid berkata, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Umno, termasuk sayap Pemuda serta Puteri, sejak awal berpendirian tegas memperjuangankan isu tuntutan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP yang dibangkitkan rakyat.
Rabu lepas, KWSP mengumumkan dua kategori pencarum yang layak membuat pengeluaran iaitu kategori satu pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Kriteria bagi kategori 1 ialah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan, atau ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas selepas Mac 2020.
Bagi kategori itu, tiada dokumen sokongan diperlukan, kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Dis 2020.
Kategori 2 pula ialah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas, termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa, selepas Mac 2020, dan pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.