KOTA KINABALU: Setiausaha akhbar kepada Hajiji Noor, Lucy Irene Yong berkata, ketua menteri Sabah itu tidak pernah menuduh atau menyalahkan penjawat awam sebagai punca kelewatan serta masalah dalam pengagihan bantuan bakul makanan di negeri berkenaan.
Beliau berkata, Hajiji tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian, sebaliknya sangat menghargai pengorbanan semua pihak yang bersama-sama berusaha memerangi wabak Covid-19 serta mereka yang menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Satu hantaran yang viral di media sosial dengan kenyataan yang menyalahkan penjawat awam berlatarbelakangkan gambar ketua menteri itu adalah palsu.
“Gambar yang viral di semua platform media sosial itu adalah berniat jahat untuk memburukkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta pemimpinnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lucy berkata, laporan polis juga akan dibuat berhubung perkara itu, selain berharap tindakan diambil terhadap pihak yang menyebarkan gambar kenyataan palsu tersebut.