Benar keluarkan KWSP RM10,000 atau beri bantuan RM1,000 sebulan
Hassan Abdul Karim
Kerajaan Malaysia patut benarkan pencarum KWSP keluarkan Akaun-1 mereka sehingga RM10,000 sekaligus.
Jika Kerajaan tidak setuju, maka Kerajaan mesti beri bantuan sebanyak RM1,000 setiap bulan kepada semua pekerja warganegara yang hilang pekerjaan kerana Pandemik Covid-19 sehingga mereka mendapat pekerjaan baru.
Kerajaan sanggup berbuat demikian?
Jika Kerajaan tidak sanggup dan tidak mampu maka Kerajaan perlu akur kepada tuntutan para pencarum.
Benarkan mereka keluarkan duit tabungan mereka sendiri. Bukan keluarkan keseluruhannya tetapi setakat RM10,000 sahaja sekaligus. Mereka boleh memulakan ikhtiar baru untuk meneruskan hidup dengan wang yang dikeluarkan itu.
Kerajaan kena percaya kebijaksanaan rakyatnya sendiri.
Rakyat yang hilang mata pencarian kerana hilang kerja berada di persimpangan, antara hidup dan mati.
Para pencarum yang menuntut haknya itu memilih untuk terus hidup bukannya mati.
Undang-undang yang mengawal selia operasi KWSP tidak boleh mengatasi Undang-Undang Dasar Negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, di mana Perkara 13 menjamin hak rakyat terhadap harta dan wang ringgit mereka.
Duit dalam tabungan Simpanan Wang Pekerja itu adalah harta peribadi rakyat bukannya rezab negara.