Serangan berterusan bekas Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir Mohamad terhadap Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mempunyai agenda tersembunyi menyelamatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berada dalam kedudukan politik yang amat genting.
Menurut Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Syed Badli
Shah Syed Osman, serangan Tun secara tidak langsung hanya memperkuat posisi
Muhyiddin sebagai PM, dan tidak wajar dilakukan oleh seorang tokoh pembangkang
yang pernah membawa usul Undi Tidak Percaya kepada Presiden Bersatu itu.
"Umum mengetahui Anwar Ibrahim sedang berusaha mengembalikan mandat rakyat yang dirampas oleh kerajaan pintu belakang.
"Langkah Tun menyerang Anwar secara berterusan dipercayai adalah agenda licik memastikan Muhyiddin terus kekal berkuasa.
"Maka tidak hairanlah jika dahulu beliau dengan sengaja meletakkan jawatan PM untuk memberikan laluan mudah kepada Muhyiddin.
"Membaca tindak tanduk dan gerak geri Tun, saya amat yakin bahawa kerajaan pintu belakang hari ini menerima sokongan Tun secara sulit," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Syed Badli, Tun tidak lagi wajar meneruskan percaturan politik pada usia 95 tahun. Sebaliknya perlu bersara daripada politik dan membiarkan generasi yang lebih muda menggerakkan politik dan pemerintahan negara.
"Di kala usia Tun menghampiri satu abad, beliau seharusnya berhenti berpolitik dan menumpukan kepada kehidupan peribadi.
"Justeru saya ingin menasihatkan Tun Mahathir untuk menghentikan segala agenda politik jahat kerana rakyat sudah muak dengan permainan politik kotor yang tidak menguntungkan," katanya lagi.
Nama bekas PM selama 24 tahun itu sekali lagi menjadi buah mulut sejak beberapa hari lalu apabila beliau mengkritik Datuk Seri Anwar kononnya tidak mampu mengendalikan pentadbiran negara ketika krisis ekonomi 1998.
Sedangkan hal berkenaan telah lama berlalu dan bagi rakyat ianya
tidak relevan untuk dibandingkan dengan situasi semasa pandemik Covid 19 yang
dihadapi negara.