Florence Nightingale bukan Makcik Kiah


Kalau nama Florence disebut, ya Florence Nightingale; orang akan membayangkan seorang misi atau jururawat jelita dengan lampu kuning bergerak dari satu ranjang ke satu ranjang, meraba dahi, dan memeriksa suhu pesakit lelaki iaitu para mangsa Perang Crimea.

Tidak ramai yang mengetahui Florence menulis sejumlah 15,000 pucuk surat, mungkin juga lebih 20,000, yang kadang-kadang setiap satunya sepanjang 40 lebih halaman. Tidak ramai mengetahui Florence sebagai seorang pengarang, pernah menulis Notes on Hospital (1859) dan Notes on Nursing (1860). Itu belum lagi ditambah dengan pelbagai jenis laporan kesihatan yang mengkhusus kepada isu seperti sanitasi.

Suatu yang mungkin kepala kepada barisan depan kurang tahu ialah, Florence juga seorang pemerhati kepada pelbagai isu masyarakat; yang membolehkan beliau menyumbang idea dan gagasan kepada misalnya, bagaimana untuk melakukan reformasi dalam bidang kesihatan, kejururawatan, dan seterusnya memberi kita hari ini petunjuk dan panduan untuk bagaimana melayani pesakit tidak kiralah pesakit itu seorang migran, seorang pendatang asing tanpa izin, seorang yang turun dari kayangan, seorang ulama celup-celupan pulang dari Turki, atau seorang banduan yang terdesak oleh kesesakan di penjara.

Hanya dengan pengetahuan yang meluas mengenai isu masyarakat (baca: sosiologi) Florence dapat mencadangkan pelbagai pembaharuan dalam bidang kesihatan seperti yang kita kecapi hari ini. Sekiranya kita membaca biografi Florence Nightingale kita akan mendapati beliau fasih, cekatan, dan mahir dengan idea atau gagasan Dante, Bacon, Hegel, Kant, Mill, Comte, dan seratus macam lagi pemikiran kritis. Vineeta Sinha, ahli sosiologi daripada Universiti Kebangsaan Singapura dalam Florence Nightingale 1820-1910 menyifatkannya sebagai pemikir sosial yang unggul – bukan – sekadar seorang jururawat (atau barisan depan).

Dek mahir falsafah dan pemikiran kritis, saya bayangkan Florence misalnya tentu akan tertawa dengan saranan minum air suam untuk memulihkan Covid-19, Florence contohnya tentu akan melenting dengan bajet pincang untuk sektor kesihatan. Saya tidak mengada-adakan ini, Florence Nightingale ibu kejururawatan moden bukan anggota barisan depan biasa. Florence sangat menguasai bidang matematik, antara lain bidang statistik yang membolehkan dia memberi aneka idea untuk membaiki sektor kesihatan.

Dalam warkah yang banyak itu, seperti yang dirakam oleh antara lain Michael Calibria dan Janet Macrae iaitu pengkaji idea Nightingale dari Universiti Pennsylvania, Florence misalnya ditemukan memberitahu yang Tuhan dapat ditemukan pada statistik; “To understand God’s thoughts we must study statistics, for these are the measure of His purpose“. Atau dalam satu warkah lain, Florence menyatakan pula, “Statistics is thus a sacred science that allows one to transcend one’s narrow, individual experience and reads the thoughts of God“.

Dalam laporan panjang tulisan Florence Nightingale bertajuk Notes on Matters Affecting Health, Efficiency and Hospital Administration of the British Army (1858), Florence mengetengahkan hujah beliau menerusi carta, rajah, dan diagram demi memahamkan pengarah kesihatan dan menteri bertanggungjawab bagaimana mereformasi kesihatan, dan membaiki sanitasi akan boleh menurunkan kadar kematian.

Untuk membolehkan pengarah kesihatan dan menteri bertanggungjawab itu nampak apa yang Florence lihat di wad dan hospital, dia akhirnya tiba kepada sosiologi, selaku seorang ahli metodologi yang menjelaskan bahawa perangai masyarakat yang meremeh persoalan kesihatan perlu dibaiki. Untuk membetulkan ini keupayaan manusia diperlukan; yang mana Florence memberikan pula idea mengenai undang-undang dan polisi, cara untuk menyempurnakan individu dan masyarakat.

Demi memahamkan penggubal undang-undang di parlimen (atau mungkin Dewan Undangan Negeri dalam konteks Malaysia), Florence pergi setapak lagi iaitu mengkuliahkan pengarah kesihatan, menteri-menteri bertanggungjawab, dan ahli politik mengenai undang-undang. Florence tahu, mereka yang membikin undang-undang harus patuh kepada undang-undang terlebih dahulu, demi memastikan rakyat iaitu individu dalam masyarakat untuk faham.

Florence berjaya mengubah dan membaiki masyarakat kerana Florence bukan hanya seorang barisan depan yang terpisah dari realiti dan lojik. Dia berani menegur dan boleh membetulkan tingkah laku penguasa dan kerajaan demi satu misi kemanusiaan, iaitu mengurangkan kematian dan kesakitan. Dia bukan bongok. Jadi, Florence, daripada seorang ahli matematik adalah juga seorang penawar masyarakat. Menerusi sosiologi dia mencipta kejelasan dan jalan keluar sains.

Inilah kualiti barisan depan yang harus dipunyai oleh dunia di tengah pandemik gila. Di mana di tengah pandemik gila ini kita akan dengar dakwaan, barisan depan yang menyembunyikan data; atau barisan depan yang akur dengan penguasa, dan tambah dahsyat barisan depan yang melepaskan insan dari kayangan kerana dia adalah kelas feudal yang berkuasa. Bagaimana gamaknya decit Florence kalau dia mengetahui semua ini? Adakah kita dapat keluar dari Covid-19 ini jika kita tidak mengadaptasi cara Florence.

Florence, ya Nightingale akan mencemuh kepala barisan depan dan menteri berkaitan pastinya. Ini kerana Florence juga sangat mengerti fabrik dan politik semasa. Apabila Florence menulis sebuah fiksyen – satu-satunya fiksyen yang beliau tuliskan – bertajuk Cassandra (1852) dan diterbitkan kembali pada 1979, Florence mengkritik tingkah laku tidak apa atau relaks wanita bangsawan era Victoria. Florence dalam fiksyen itu menjeritkan; “Awake, ye women, all ye that sleep, awake!

Florence menegaskan kepada pembaca perempuan bahawa kerja rumah seperti memasak, menjaga anak, mencantikkan kediaman tidak lagi memadai; “The time has come when women must do something more than the domestic hearth, which means nursing the infants, keeping a pretty house, having a good dinner and an entertaining party“.

Tetapi jangan salah faham. Florence bukan pengekor gerakan feminis tegar. Dia menyatakan yang sebenar. Bukan setakat itu, Florence sebagai barisan depan sedar bahawa kepincangan politik dan kesengetan politikus menyumbang kepada keruntuhan tamadun dan menyukarkan reformasi sektor kesihatan yang didambainya. Florence sebagai contoh mengkritik penjajahan Inggeris di India (Florence seorang berbangsa Itali tetapi kemudian belajar di Jerman, dan menetap di London).

Kritikan keras Florence menunjukkan beliau bukan seorang barisan depan yang kerjanya hanya menjadi mak angguk. Florence bukan Mak Cik Kiah. Florence dengan garang menista British yang menjajah India dan meletakkan keadaan kesihatan di sana tidak terurus, justeru mengakibatkan kemelaratan oleh kebuluran dan dengan itu menggagalkan usaha pembaikan dalam bidang kesihatan termasuk yang dijuarainya, iaitu isu sanitasi.

Florence misalnya menulis sebuah esei bertajuk The People of India pada 1878, dan ia berbunyi begini: “We do not care for the people of India. This is a heavy indictment: but how else to account for the facts about to be given? Do we even care enough about their daily lives of lingering deaths from causes we could remove? We have taken their lands and their rule and their rulers into our charge for state reasons of our own.”

Florence malah dengan marah meminta mentaliti kolonial ditamatkan, dan pendekatan menindas persis perhambaan dihentikan. Bukan itu sahaja, Florence menentang korupsi, rasuah, dan pembulian sehingga mengucar-kacirkan hal bekalan air dan pengairan di India yang menyebabkan apa yang beliau ingin lakukan dalam bidang kesihatan terbantut.

Inilah barisan depan yang kita ingini pada 2020. Kepala kesihatan seperti Florence. Jururawat itu menunjukkan kita, wabak penyakit dan juga langkah menanganinya sangat berkait rapat dengan tata urus ini. Sebab itu dalam keadaan pandemik melanda dunia, satu-satu jalan untuk membetulkan tatacara masyarakat kita ialah dengan menjadi transparen, jujur, dan berhenti mengampu apatah lagi melakukan penyelewengan. Barisan depan tidak boleh bersekongkol dengan penyangak, kartel, atau menyokong kleptokrat. Sangat tidak Florence sekali cara itu.

Florence pernah mengatakan, dia lebih suka berbuat kerja daripada bising (menulis aneka laporan dan surat rungutan); “You ask me why I do not write something…I think one’s feelings waste themselves in words; they ought all to be distilled into actions and into actions which bring results“.

Pun, terbukti dari tulisannya yang banyak dan bernilai itu, Florence Nightingale bukan seorang barisan depan yang kangkung. Dia juga bukan barisan depan penyorok data.

Namun, adakah kita punya Florence saat berdepan dengan Covid-19?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


No comments: