Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyifatkan Maulidur Rasul hari ini sebagai hari sambutan yang amat bermakna
buat umat Islam di seluruh dunia.
Presiden KEADILAN dalam
perutusannya berkata, Maulidur Rasul bukan sekadar sambutan tahunan
semata-mata, tetapi menjadi satu peringatan untuk memantapkan lagi keimanan dan
akidah diri.
"Sirah dan susur galur
perjuangan Baginda menjadi sangat penting untuk difahami dan ditelaah agar hari
keputeraan Baginda itu tidak hanya terbatas pada soal seremonial atau sekadar
suatu sambutan tahunan, tetapi ia mesti dimaknai dengan penuh tawadhuk dan
keimanan yang mendalam.
"Akhlak mulia dan falsafah
besar yang dibawa Rasulullah SAW wajar dijadikan panutan dan teladan buat umat
manusia. Peringatan Maulud seharusnya menggugah nurani kita untuk sentiasa
waspada akan tahap iman dan akidah yang mesti mantap dan teguh.
"Allah SWT berfirman dalam
Surah al Ahzab (ayat 21): “Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri
teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan
(kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah."
Anwar juga berpandangan bahawa
umat Islam mesti memahami dan menhayati dengan mendalam bahawa sosok Rasulullah
adalah sosok perubahan dan menganggap misi baginda ialah misi transformatif
yang sentiasa mengembleng umat untuk menuntut keadilan dan perubahan.
"Risalah pembaharuan
tersebut juga bermaksud sentiasa teguh menentang segala bentuk kebobrokan,
tegas melawan kezaliman dan memperkukuh benteng akidah," katanya.
Anwar juga berharap umat Islam
dapat menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini sebagai satu pemangkin
semangat dalam menempuh wabak COVID-19 yang dihadapi dunia ketika ini.
"Saat umat masih dirundung
dengan petaka wabak, hari besar umat Islam ini wajar dijadikan lonjakan
spiritual dan semangat buat semua agar tidak berputus asa dan terus kuat
semangat. Semoga kita diberi kekuatan dan ketabahan dalam menempuh musibah ini.
"Selamat menyambut
Maulidur Rasul 1442H kepada seluruh umat Islam," katanya.