LONTARAN NAJIB UNTUK MENYOKONG ANWAR ADALAH DEMI MASA DEPAN UMNO

 

Daripada sudut logika, apabila Najib Razak mencadangkan agar UMNO bekerjasama dengan Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baru dan meninggalkan PN, ia memang sesuatu yang sukar untuk diterima akal.

Lebih-lebih lagi bagi pemimpin UMNO yang agak tertutup pemikirannya, mereka lantas melompat menentang idea tersebut dengan kepercayaan bahawa bekerjasama dengan Anwar bermakna bekerjasama dengan DAP.

Ada juga yang membangkitkan sejarah permusuhan UMNO dengan Anwar yang telah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu.

Tetapi, daripada sudut strategi politik, cadangan Najib itu adalah sesuatu yang cukup baik, terpuji dan merupakan langkah ke hadapan untuk menyelamatkan masa depan UMNO.

Cadangan bekerjasama dengan Anwar hanyalah dalam membentuk kerajaan semata-mata dan tidak sesekali bermakna UMNO mesti menyertai PH.

UMNO akan terus kekal dalam BN dan Anwar kekal bersama PKR dan PH di mana dalam PRU akan datang nanti, mereka boleh bertanding secara bebas di kawasan masing-masing.

Berbanding bersama PN yang memungkinkan UMNO terpaksa bertoleransi dan mengorbankan kerusi-kerusi tradisinya untuk diserahkan kepada Bersatu, sebaliknya perkara itu tidak berlaku apabila bekerjasama dengan Anwar dan PKR.

UMNO bukan saja tidak bertembung di sebahagian besar kerusi dengan PKR, malah sama sekali tidak berlaga dengan DAP di kawasan yang sama.

UMNO secara tradisinya bertanding di kawasan Melayu, PKR di kawasan campuran dan DAP di kawasan bandar atau yang majoriti pengundinya adalah kaum Cina.

Dengan yang demikian, melalui kerjasama dengan Anwar, selain UMNO boleh terus kekal berada dalam kerajaan, tidak lagi dibuli sebagaimana jika terus bersama Muhyiddin Yassin, malah berpeluang cerah untuk kembali sebagai kerajaan selepas PRU15 akan datang.

Dengan bertanding secara berasingan, antara PH dan BN, siapa yang nanti menang banyak kerusi, merekalah yang berhak menjadi kerajaan.

Sebaliknya, kalau terus bersama PN dan kekal menyokong Muhyiddin, apakah ada jaminan pemimpin UMNO berpeluang menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang?

Mahu melantik Timbalan Perdana Menteri pun begitu sukar hendak dilakukan oleh Muhyiddin, maka UMNO haruslah sedar antara kawan, musuh dan siapa pembuli yang sebenar.

Selain itu, tiada yang peliknya jika UMNO bekerjasama dengan Anwar yang telah dimusuhi sejak lebih 20 tahun lalu kerana dengan Bersatu yang merupakan musuh yang ketara di kawasan yang sama, malah memainkan peranan penting mengalahkan UMNO dalam PRU lalu pun masih boleh dibuat kawan untuk menubuhkan PN, inikan pula Anwar yang sebenarnya dijadikan musuh oleh UMNO hanyalah disebabkan beliau musuh dan ketakutan buat Tun Mahathir Mohamad ketika itu.

Dalam hal yang lain, ada pula yang bertanya, kenapa Najib mesti melontarkan idea untuk bekerjasama dengan Anwar dan bukan mencadangkan pemimpin UMNO sendiri seperti Tengku Razaleigh Hamzah misalnya, sebagai calon Perdana Menteri?

Harus difahami bahawa yang menang dalam PRU14 lalu adalah PH dan bukannya BN.

Tidak logik sama sekali untuk menaikkan pemimpin UMNO sebagai Perdana Menteri tanpa melalui pilihanraya terlebih dahulu, sedangkan parti itu kalah dalam PRU14 lalu.

Ia sama seperti yang berlaku ketika Langkah Sheraton dulu, UMNO ketika itu memilih menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri adalah disebabkan beliau daripada Bersatu yang merupakan salah satu komponen dalam PH.

UMNO hanya boleh dan wajar merebut kembali kerusi Perdana Menteri selepas mandat PRU14 berakhir dengan ketibaan PRU yang baru.

Maknanya, memilih Anwar selepas meninggalkan Muhyiddin yang banyak bermasalah adalah pendekatan terpuji Najib dalam mengekalkan pilihan pengundi dalam pilihanraya sebelum ini.

Kepada pendokong PH pula, terutama DAP yang bimbang bahawa bekerjasama dengan UMNO bermakna bekerjasama dengan Najib yang sudah didapati bersalah atas pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa, harus difahami bekas Perdana Menteri itu tidak akan berada dalam kerajaan yang akan diketuai Anwar nanti.

Dengan kata mudah, Najib hanya membantu untuk menyingkirkan Muhyiddin dan menaikkan Anwar semata-mata.

Selepas itu, dalam pembentukan kabinet, sebagaimana Anwar dikenali sebagai pejuang reformasi dan tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa, beliau pasti hanya akan melantik mereka yang benar-benar bersih saja dalam barisannya.

Yang ada kes dan kesalahan, biarlah mereka membersihkan nama mereka terlebih dahulu melalui saluran yang sewajarnya.

Kesimpulannya, idea Najib inilah pilihan menang-menang dan terbaik buat UMNO demi kelangsungan masa depannya.

 (Shahbudindotcom 29/10/2020)


No comments: