Ahli Parlimen bebas, matang bahas Belanjawan 2021

 





Perbahasan Belanjawan 2021 perlu dilakukan secara matang dan bebas di Dewan Rakyat.

 

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, institusi Parlimen perlu dibenar memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan semasa, terutama dalam isu meluluskan belanjawan yang melibatkan ratusan bilion ringgit wang rakyat.

 

"Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengguna pakai prinsip pengasingan kuasa. Oleh itu semua pihak dan institusi perlu menghormati Parlimen dengan menyediakan keadaan yang kondusif bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen bebas menentukan pendirian dan membuat keputusan.

 

"Dalam hal ehwal kewangan negara, peranan Parlimen amat besar. Perkara 96 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa tiada percukaian melainkan jika dibenarkan oleh undang-undang. Manakala Perkara 102 pula menyatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan.

 

"Hal-hal berkenaan rang undang-undang melibatkan kewangan negara adalah dalam bidang kuasa Parlimen.Tidak ada sesiapa boleh mengarah, atau memujuk Ahli-ahli Parlimen supaya menyokong dan meluluskan sesuatu rang undang-undang belanjawan negara, termasuklah Belanjawan Tahun 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November nanti," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Hassan, tidak ada proses kelulusan segera dalam perbahasan. Belanjawan 2021 katanya, akan dipecahkan kepada peruntukan mengikut kementerian. Semuanya perlu dibahas satu demi satu.

 

Seandainya terdapat isu-isu yang meragukan, Pembangkang akan menyoal pihak kerajaan dan tidak mustahil rang undang-undang tersebut tidak diluluskan.

 

"Rang undang-undang belanjawan tahun 2021 seperti belanjawan sebelum ini perlu melalui proses penggubalan undang -undang yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan kewangan yang sedia ada.

 

"Rang undang-undang itu perlu dibahaskan di peringkat dasar dan jawatankuasa. Proses pengundian juga perlu dilakukan di peringkat dasar dan juga peringkat jawatankuasa.

 

"Tidak ada proses fast track ataupun jalan pintas. Duit beratus bilion ringgit dalam belanjawan adalah duit pembayar cukai dan duit hasil negara milik rakyat serta milik negara," katanya lagi.

 

Perdebatan timbul sejak titah Yang di-Partuan Agong mahu Belanjawan 2021 diluluskan. Terdapat pihak mencadangkan belanjawan perlu disokong tanpa bantahan.

 

Namun Pembangkang memberi isyarat hal itu hanya boleh dilakukan sekiranya pihak kerajaan merundingkan peruntukan belanjawan sebelum dibentangkan.

 

Sebaliknya, jika kerajaan tidak merundingkan isi kandungan dan mahu ia diluluskan secara fast track maka hal itu dianggap mencabul fungsi Parlimen.

 

No comments: