Oktober 29, 2020
Menurut Syed Ali, isu Ahmad Zahid yang sedang berdepan dengan beberapa kes di mahkamah bukan batu penghalang untuk lantikan berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Situasi akan menjadi terlalu janggal dan di luar tradisi UMNO jika Presiden parti tidak dilantik mengisi kekosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, tambahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan antara menteri Kabinet yang cukup berpengalaman untuk digandingkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengurus tadbir negara yang pada ketika ini berdepan dengan pelbagai masalah khususnya ancaman wabak COVID-19.
Dalam isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Muhyiddin, penghormatan terhadap institusi UMNO perlu diberikan keutamaan.
"Sebagai menghormati jawatan Ahmad Zahid dalam UMNO yang menjadi penyumbang terbesar kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin, tidak ada sebab atau kewajaran untuk beliau diketepikan.
"Lagipun dengan mengetepikan Ahmad Zahid untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, dikhuatiri akan mencetuskan kekecewaan dan kemarahan akar umbi UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin dan juga tidak baik kepada PN itu sendiri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Rabu.
Beberapa pemerhati politik sebelum ini menegaskan, perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence & supply agreement) yang diperlukan kerajaan PN bagi memastikan Belanjawan Negara 2021 lulus, bukan hadir percuma.
Mereka berkata, ketika DAP dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) lebih terbuka dalam menyuarakan permintaan mereka kepada Muhyiddin, UMNO pula mahu peruntukan yang lebih besar dalam struktur kuasa di Putrajaya.
Dalam pada itu kata Syed Ali, isu Ahmad Zahid yang sedang berdepan dengan beberapa kes di mahkamah bukan batu penghalang untuk lantikan berkenaan.
Tambahnya, prinsip perundangan menyetakan, jika belum lagi disabit bersalah oleh mahkamah, maka seseorang itu masih lagi didapati tidak bersalah.
"Mengambil contoh pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, kes beliau masih berjalan dan belum dijatuhkan hukuman bersalah maka sememangnya Bung boleh memegang jawatan tersebut.
"Saya berharap Muhyiddin akan mengambil kira penghormatan dan tradisi UMNO dengan tidak mengetepikan Ahmad Zahid untuk jawatan berkenaan," ujarnya.
Beberapa media sebelum ini melaporkan, Muhyiddin kini sedang mempertimbangkan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu, sebagai timbal balas terhadap sokongan mereka untuk Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, dan kestabilan politik negara.