PRN Sabah: KEADILAN lancar jentera DUN Sook







KEADILAN melancarkan jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Jentera itu bakal dikemudi oleh Ketua KEADILAN Cabang Pensiangan, Raymond Ahuar yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah.

Ketua AMK, Akmal Nasir berkata jentera yang digerakkan oleh golongan belia itu merupakan satu peluang kepada anak muda untuk membuktikan keupayaan mereka dalam persada politik negara.

"Selaku Ketua AMK Malaysia, saya mengharapkan KEADILAN kekal sebagai wadah anak muda dan memberi ruang kepada kami untuk sama-sama berada di barisan hadapan.

"Kekuatan dan komitmen anak muda wajar dihargai dan digilap lebih jauh.
Apa-apapun kita akan terus bersama-sama membantu sehabis baik untuk sentiasa membawa perubahan ke arah kebaikan," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Sook dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Ellron Alfred Angin dengan majoriti 4,485 undi.

Beliau menewaskan calon Warisan, Martin Tommy yang meraih 3,557 undi, calon USA-STAR, Baritus Gungkit dengan 3,402 undi dan calon parti Anak Negeri, Peter Beaty dengan 113 undi.

Dengan pelancaran jentera KEADILAN di DUN Sook, ada kemungkinan Warisan akan memberi peluang kepada KEADILAN untuk bertanding di kerusi tersebut.


No comments: