'Kita bergerak sebagai satu pasukan' - Saifuddin Nasution







Setiauasaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan jentera parti agar bergerak sebagai satu pasukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan dimulakan dengan kempen pilihan raya pada minggu hadapan.

Katanya, sama ada KEADILAN bertanding atau tidak di sesuatu kawasan, jentera harus bekerja kuat untuk memenangkan calon di kawasan berkenaan.

"Kawasan boleh jadi kita bertanding, boleh jadi tidak sebab kita akan muktamadkan kerusi (menjelang Khamis) tetapi kalau takdirnya kawasan itu parti lain daripada kita, komitmen kita, jentera kita di situ kita tidak akan pindahkan untuk bantu kawasan lain.

"Kita akan bekerja, seperti mana kalau kita bertanding di DUN Api-Api, DAP, Warisan dan UPKO di situ akan menangkan kita. Itu semangat yang kita letak. Ini penting atas nama kesepakatan," katanya dalam majlis Jelajah Penerangan Negeri Sabah, di The Palace Hotel pagi tadi.

Sementara itu, Saifuddin juga sempat menaikkan semangat para jentera penerangan dengan membayangkan Kerajaan Pakatan Harapan, Warisan dan UPKO akan kembali memerintah Sabah selepas hari mengundi, 26 September ini.

"Dalam pertemuan saya tadi  , saya tanya Datuk Seri Shafie, confident level dia setakat mana dari 73 kawasan DUN. Dia sebut berdasarkan persiapan dan risikan, tahap keyakinannya cukup tinggi. Kita akan sama-sama kembali membentuk kerajaan Sabah," katanya disambut tepukan para hadirin.

Saifuddin juga menegaskan KEADILAN perlu menang lebih banyak kerusi berbanding 2 kerusi seperti dalam Pilihan Raya Umum lalu kerana keanggotaan parti yang besar di negeri itu

"Sabah negeri yang kedua anggota KEADILAN tertinggi selepas Selangor. Didahului Kota Marudu dengan hampir 15,000 anggota, Tawau nombor dua.

"Kenapa keanggotaan terus bertambah? Penduduk Sabah melihat ada kekuatan bersama KEADILAN, justeru tujuan parti antara lain adalah untuk menyertai PRN. Oleh itu KEADILAN perlu mendapat kerusi (untuk dipertandingkan) yang munasabah.

"Harapan besar diberikan kepada pimpinan negeri untuk memenuhi hasrat itu," katanya lagi.



No comments: