Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri
KEADILAN Sabah, Datuk Christina Liew Chin Jin percaya KEADILAN dalam posisi
terbaik untuk menang lebih daripada lima kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri
(PRN) Sabah pada 26 September ini.
Berucap dalam majlis Pelancaran Jentera
Pilihan Raya KEADILAN Sabah malam tadi, katanya, dengan bantuan rakan-rakan
dari seluruh negara tidak mustahil sasaran tersebut akan dicapai.
"Saya percaya dengan kedatangan
presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita boleh menang lebih dari 5 ke 10 kerusi
kali ini.
"Saya amat berharap agar
presiden dan kerajaan-kerajaan negeri yang diterajui KEADILAN, iaitu Selangor
dan Negeri Sembilan dapat membantu kami dari segi kepakaran teknikal dan
taktikal.
"Kita perlu kembalikan mandat
rakyat yang cuba dirampas menyebabkan Dewan Undangan Negeri Sabah dibubar.
"Kerajaan Sabah, KEADILAN,
Warisan, DAP dan Amanah amat penting dan menjadi harapan rakyat Sabah.
"Kita tidak mampu bersendirian
(dalam PRN) dan perlu meneruskan kerjasama (bersama parti lain) untuk
memastikan kemenangan besar," katanya.
Christina juga berharap dengan kerusi
yang lebih banyak, KEADILAN mampu memberi sumbangan lebih besar dalam kerajaan
Sabah yang diterajui Warisan.
"KEADILAN perlu jadi kerajaan
dan berada dalam kerajaan agar parti ini terus relevan memacu agenda reformasi
dan dapat melaksanakan (perubahan) dalam kerajaan negeri Sabah.
"Pada pilihan raya kali ini kita
perlu perlu bekerja keras memberitahu pengundi bahawa kita sentiasa berkhidmat
untuk mereka," katanya.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran
kepada jentera KEADILAN agar jangan leka dengan strategi licik musuh. Katanya,
musuh telah mula memainkan fitnah kononnya KEADILAN tidak melakukan apa-apa
sepanjang pemerintahan sejak 2 tahun lalu maka rakyat tidak perlu lagi memilih
parti itu pada kali ini.
"Sesetengah parti sudah mula
kempen kotor. Mereka menabur pelbagai fitnah ke atas KEADILAN, termasuk saya
sendiri. Kononnya saya tidak melakukan apa-apa dalam kerajaan.
"Ini adalah satu propaganda
tidak benar dan tidak adil.
"KEADILAN Sabah telah melakukan
banyak khidmat dan program untuk rakyat. Tidak berhenti dan sentiasa turun
padang bersama-sama rakyat. Anda boleh rujuk website parti KEADILAN Sabah dan
media sosial untuk mengetahui lebih lanjut pembohongan mereka, yang mengatakan
KEADILAN tidak buat kerja di Sabah," katanya lagi.
Dalam Pilihan Raya Umum ke 14,
KEADILAN bertanding 8 kerusi DUN bagaimanapun hanya menang 2 kerusi. Namun
dengan semangat menolak pengkhianatan kali ini, KEADILAN mensasarkan untuk
mendapat sekurang-kurangnya 5 kerusi bagi menguatkan kerajaan Pakatan Harapan -
Warisan yang bakal dibentuk.