PEMIMPIN BERWIBAWA UMNO HANYA MUNCUL SELEPAS PEMILIHAN 2021


Menurut Khairy Jamaluddin, tiada yang lebih berwibawa daripada kalangan pemimpin UMNO mahupun PAS untuk dijadikan calon Perdana Menteri buat masa ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, berdasarkan kewibawaan, ia hanya dimiliki oleh Perdana Menteri sedia ada, Muhyiddin Yassin.
“Kalau kita tengok daripada segi penerimaan rakyat, telah diumumkan dapatan daripada badan penyelidik yang mengakui kewibawaan Muhyiddin dan itu adalah hakikatnya,” ujar Ahli Parlimen Rembau dan bekas Ketua Pemuda UMNO itu lagi.
Apa maksud kata-kata KJ ini?
Rasanya tidak sukar memahami apa yang cuba diperkatakan KJ berkenaan tiada wibawanya pemimpin UMNO dan Pas yang mampu mengatasi kewibawaan Muhyiddin buat masa ini.
Untuk menjadi Perdana Menteri, ia biasanya mestilah datang daripada mereka yang memegang jawatan utama dalam parti.
Apabila KJ mengatakan tiada yang berwibawa daripada UMNO untuk menjadi Perdana Menteri, bermakna Presiden UMNO, Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan; Naib-Naib Presiden UNNO, Ismail Sabri, Mahadzir Khalid serta Khaled Nordin dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, semuanya tidak layak untuk menggantikan Muhyiddin.
Zahid mungkin dianggap sudah hilang wibawa kerana sedang berdepan banyak kes mahkamah berkaitan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram sekarang ini.
Mohamad Hassan barangkali tidak dilihat berwibawa untuk menjadi Perdana Menteri kerana hanya pernah menjadi pemimpin negeri dan tidak pernah ada pengalaman sekelumit pun dalam pentadbiran di peringkat Pusat.
Tak tahulah jika Mohamad Hassan turut dianggap tidak berwibawa kerana pernah mengatakan beliau akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU akan datang dan mencadangkan KJ mungkin akan dipindahkan ke kawasan yang lain.
Ku Li pula mungkin kerana usianya yang sudah lebih 80 tahun ditafsirkan tidak lagi berwibawa dan tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri dalam era sekarang ini.
Begitu juga dengan Naib-Naib Presiden UMNO yang ada, oleh kerana mereka macam biasa-biasa dan lebih kurang seperti Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi saja serta tiada watak Hang Tuah atau Hang Jebat, mereka juga dianggap tiada wibawa pada pandangan KJ untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.
Hal yang sama juga kepada pemimpin Pas, terutamanya Presidennya, Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, pada tanggapan KJ semuanya tiada kewibawaan untuk menandingi Muhyiddin bagi menduduki kerusi Perdana Menteri.
Habis, siapa yang berwibawa untuk jadi Perdana Menteri, khususnya daripada UMNO?
Adakah kenyataan KJ itu bermaksud bahawa biarlah Muhyiddin kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas PRU awal yang mungkin diadakan dalam waktu terdekat ini, tidak kira jika Bersatu memiliki jumlah kerusi Parlimen yang paling sedikit sekali pun, dan selepas itu dalam pemilihan UMNO tahun 2021 akan datang, beliau akan mencuba sekali lagi untuk bertanding jawatan Presiden UMNO setelah tewas kepada Zahid Hamidi dalam pemilihan 2018 yang lalu?
Oleh kerana sudah melambung Muhyiddin sebagai paling berwibawa untuk kekal sebagai Perdana Menteri dan kiranya itu menjadi kenyataan, Muhyiddin sudah tentu ada rasa terhutang budi kepada menantu Tun Abdullah Badawi itu, lalu tidak mustahil akan memberikannya suatu kementerian yang lebih kanan untuk diterajui selepas ini yang membolehkannya lebih selesa memenangi jawatan Presiden UMNO.
Adakah jika setelah KJ menjadi Presiden UMNO selepas pemilihan tahun 2021 akan datang, soal kewibawaan pemimpin UMNO untuk menduduki kerusi Perdana Menteri tidak berbangkit lagi?
 (Shahbudindotcom 06/09/2020)

No comments: