Kerajaan PN gagal lanjut moratorium, tunduk kepada bank

 


Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanjutkan tempoh moratorium selama 3 bulan lagi selepas berakhir tempoh 6 bulan pada 30 September ini amat mengecewakan rakyat.

 Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan PN sewajarnya mempertimbangkan situasi ekonomi yang kurang memberansangkan ketika ini dan mengambil cadangan Pakatan Harapan bagi melanjutkan moratorium demi mempertahankan sektor industri kecil dan sederhana yang terpukul teruk akibat pandemik Covid 19.

 Anwar juga kecewa terhadap keterbatasan usaha pihak bank menghubungi 8.3 juta peminjam di seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas keupayaan membayar balik pinjaman.

 "Menurut laporan terkini, bank-bank secara umumnya telah menghubungi seramai 1.4 juta peminjam. Di mana sejumlah 380,000 dari angka tersebut telah memohon untuk lanjutan pinjaman dan bantuan kewangan.

 "Dari 380,000 itu, sebanyak 98% telah diberikan dukungan kewangan oleh institusi bank. Meski saya puji langkah tersebut, namun yang seharusnya diambilkira terdapat 8.3 juta peminjam di Malaysia.

 "Secara ringkasnya, bank-bank hanya dapat berhubung dengan 17% dari jumlah keseluruhan peminjam. Angka ini mencerminkan betapa kerajaan dan institusi bank masih belum memahami sentimen keseluruhan para peminjam.

 "Saya gesa kerajaan segera mengkaji semula langkah ini (kutipan bayaran pinjaman), dan melaksanakan moratoriun pinjaman secara bersasar, dengan fokus utama kepada peminjam yang berpendapatan rendah serta pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.

 "Kita belum nampak sebarang dampak pemulihan yang berkesan, terutamanya dalam aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah, atau aliran masuk yang stabil kepada pengusaha-pengusaha kecil di Malaysia. Kelas peminjam seperti ini mesti diberi perhatian oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

 Ahli Parlimen Port Dickson itu juga tidak dapat menerima alasan mengatakan sektor perbankan akan mengalami kerugian sekiranya tempoh moratorium dilanjutkan.

 Katanya, kerajaan perlu membentangkan keuntungan sektor perbankan di Parlimen dan tidak terlalu tunduk kepada pihak bank.

 Menurut Anwar, bank-bank perlu berkorban ketika rakyat dalam kesusahan dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

 "Kerajaan dan institusi bank mesti menonjolkan ketelusan dalam soal kecairan (liquidity) serta keuntungan terkini dan membentangkannya di Parlimen supaya ahli-ahli Parlimen dapat merencana, mencari jalan dan dapat memungkinkan kebijakan yang munasabah dan menyeluruh," katanya lagi.

 Selain itu, Anwar turut melahirkan kebimbangannya terhadap peningkatan mendadak jangkitan Covid 19 sejak dua minggu kebelakangan ini.

 Katanya, jika negara dirempuh oleh gelombang kedua Covid 19 maka hal itu akan menyukarkan lagi pemulihan ekonomi.

 "Dalam perkembangan lain, saya ambil maklum terkait jumlah jangkitan Covid-19 yang kini telah mencecah 11,000 kes, dan jumlah kes yang aktif telah melepasi 1000 untuk pertama kali sejak pertengahan bulan Jun lalu.

 "Kita mungkin akan dirempuh gelombang kedua wabak ini, dengan sekurang-kurangnya 20 kluster baru yang aktif. Ini bukan perkembangan yang baik pada ekonomi kita untuk jangka pendek, dan ini bermakna kita harus terus memikir dan mendukung golongan berpendapatan rendah yang semestinya akan terkesan," katanya lagi.

 Untuk rekod, moratorium selama 6 bulan bermula pada Mac lalu berakhir hari ini.

 Mulai esok peminjam perlu menjelaskan hutang mereka kepada pihak bank seperti biasa. Namun isu yang membimbangkan ialah perniagaan kecil dan sederhana yang kurang mampu bertahan mungkin akan menutup perniagaan dan meningkatkan lagi jumlah pengangguran yang kini mencecah 800,000 orang.