Wanita KEADILAN mengecam
tindakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang berhasrat mewujudkan taman
bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berstatus
elit pada masa akan datang.
Pengerusi Biro Guaman dan
Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Siddiq berkata kerajaan
seharusnya menyediakan akses pendidikan kepada semua kanak-kanak dari pelbagai
jenis latar belakang secara sama rata, bukannya untuk golongan tertentu sahaja.
"Sejarah penubuhan Tabika
Kemas pada tahun 1977 adalah sebagai menyahut saranan oleh UNESCO yakni
'functional literacy' dan berfungsi sebagai gerakan membasmi buta huruf.
"Ironinya, penubuhan
Tabika Kemas yang menjadikan gerakan membasmi kemiskinan sebagai salah satu
strategi membangunkan masyarakat luar bandar, akhirnya memilih untuk mewujudkan
dua strata pra sekolah yang berbeza.
"Bagaimana kita boleh
membenarkan kesenjangan sosial dengan mengusulkan agar wujud Tabika Elit?
Adapun subjek dan kurikulum yang dicadangkan adalah modul pembelajaran Sains,
Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (e-STREAM), adakah ini
menunjukkan anak-anak yang miskin tidak layak untuk diberikan input yang
setara?" soalnya dalam kenyataan.
Fadhlina yang juga merupakan
seorang peguam bela menyifatkan tindakan kerajaan itu akan hanya mewujudkan
jurang berterusan terhadap kanak-kanak yang datang daripada latar belakang
sosioekonomi yang kurang bernasib baik.
"Justeru, langkah ini
hanya mempamerkan ketidakadilan sosial yang akhirnya menjurus kepada darwinisme
sosial yang akhirnya merencatkan pembangunan komuniti kanak-kanak,"
katanya.
Fadhlina berpandangan, ketika
negara masih dalam proses pemulihan pasca COVID-19, dana untuk pendidikan harus
diagihkan secara adil dan saksama bagi meringankan beban ibu bapa dan
guru-guru.
"Fokus pasca pandemik
harus tertumpu kepada akses pendidikan untuk semua, bukan hanya untuk
segelintir sahaja.
"Tambahan dana dan
peruntukan Tabika Kemas wajib tertumpu kepada kebajikan guru dan kurikulum
berserta pembangunan fasiliti yang selamat," katanya.