Runding terus: Usaha malukan PH gagal, rakyat lihat ketelusan



 

Usaha kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN) untuk memalukan Pakatan Harapan (PH) kononnya telah memberi projek runding terus berjumlah RM6.61 bilion gagal sama sekali dalam sesi Parlimen yang lepas.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai, rakyat melihat ketelusan PH dalam merundingkan semula projek runding terus era BN yang membazir.

"Usaha PN untuk memalukan mantan Kerajaan Malaysia, iaitu Pakatan Harapan menemui jalan buntu dan digagalkan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dari DAP.

"Ini menunjukkan Ahli-ahli Parlimen PH sewaktu mereka menjadi menteri telah menjalankan tugas mereka dengan baik, sempurna dan terperinci," kata Ming Kai dipetik.

Menurut beliau lagi, ketelusan yang ditunjukkan itu sepatutnya menjadi daya penarik kepada rakyat untuk mengundi PH semula dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Oleh itu, saya berharap untuk PRU15 yang akan datang ini, rakyat akan memilih dengan bijak untuk masa depan negara yang maju dan makmur supaya rakyat dapat hidup dalam aman sejahtera dengan kos sara hidup berpatutan serta ekonomi yang tumbuh pesat," katanya lagi.

Pada 26 Ogos lalu, dalam sidang Parlimen, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, memberitahu Dewan Rakyat PH memuluskan 101 projek runding terus bernilai RM6.61 bilion.

Namun sehari kemudian, bekas Menteri Kewangan Guan Eng membentangkan bahawa projek rundingan terus di bawah PH hanya RM352 juta, selepas Kementerian Kewangan mendedahkan senarai penuh projek yang diluluskan.