Perkasakan semula JPK Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga





Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Merbok mempersoalkan tindakan Speaker Parlimen yang mencicirkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga dalam pengumuman perlantikan terbaharu.

Bagi Nurul Izzah Anwar serta Nurin Aina, JPK Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga amat penting untuk membincangkan isu-isu wanita atau warga emas.

"Pengumuman lapan ahli JPK telah dilakukan pada hari terakhir persidangan parlimen - dikenali antara entiti melengkapkan fungsi demokrasi berparlimen.

"Pun begitu, kami terkilan apabila JPK yang menyentuh khusus berkaitan Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga tidak tersenarai. Sedangkan jawatankuasa ini dilihat sebagai salah sebuah JPK barisan hadapan.

"Golongan seperti warga emas, yang lazimnya menjadi isu perbincangan JPK ini merupakan golongan yang paling berisiko lebih-lebih lagi dalam zaman penularan Covid 19," kata mereka dalam satu kenyataan.

Menurut mereka lagi, laporan terbaru yang diterbitkan oleh UNICEF dan UNFPA, “Families on the Edge”, iaitu satu kajian yang melibatkan 500 keluarga termasuk 20% daripadanya ketua isi rumah wanita yang menetap di PPR, Kuala Lumpur, bagi meninjau kesan Covid 19, mendapati golongan wanita dan kanak-kanak adalah golongan yang paling terjejas sepanjang pandemik.

Puratanya, pada Jun 2020, pendapatan wanita yang mengetuai isi rumah jatuh kepada RM675. Manakala 50% berpendapat keadaan kewangan mereka bertambah buruk, sementara 42% kanak-kanak dalam isi keluarga tidak mempunyai peralatan e-pembelajaran.
 
Ahli Parlimen Merbok Nurin Aina

Maka timbul persoalan mengenai kecekapan bantuan daripada kerajaan apabila 40% daripada responden, yang mana 45% wanita sebagai ketua keluarga tidak menganggap Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebagai tepat dalam memenuhi keperluan mereka.

"Menyorot kembali kerajaan Pakatan Harapan yang mewujudkan JPK bagi Kesamarataan Gender dan Pembangunan Keluarga dan ketika itu dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Merbok serta kekerapan JPK tersebut mengulas isu wanita dan kanak-kanak maka sewajarnya ia diteruskan.

"JPK Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga sebelum ini juga melibatkan wakil daripada KEADILAN, DAP, Umno dan Pas. Tugas utama, beserta iltizam dan input para pemegang taruh telah melahirkan versi terkini Rang Undang-Undang Gangguan Seksual dan Kesaksamaan Gender.

"Namun, segala usaha murni JPK tersebut terbantut dengan perubahan pemerintahan pada Mac 2020 lalu dan kemudian jawatankuasa ini tidak tersenarai dalam pengumuman terkini," kata mereka.

Walaupun, kata mereka, usaha mewujudkan atau tidak sebarang JPK adalah melalui saranan kerajaan memerintah namun Speaker yang memuktamadkan pewujudannya di Dewan Rakyat.

Speaker, kata mereka, boleh memutuskan untuk jawatankuasa tersebut dikekalkan.

"Oleh itu, kami menggesa Tuan Yang di-Pertua agar memperkasa semula JPK Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga dalam memastikan dasar dan perundangan diteliti dengan secukupnya agar tiada yang terkecuali dalam mendapat keadilan," kata mereka lagi.


No comments: