Berakhirnya sidang Parlimen kali ini
memberi peluang kepada rakyat Malaysia menilai prestasi dan
kebertanggungjawaban kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibangga-banggakan
sebagai terbaik menangani isu-isu rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebaliknya memberi markah buruk kepada kerajaan 'tebuk atap' yang pada
realitinya terbukti tidak mampu untuk menterjemahkan tatakelola pentadbiran
yang beretika. Begitu juga, kerajaan yang kekurangan majoriti dan tidak ada
keabsahan itu tidak berupaya meluluskan lebih banyak Rang Undang-undang (RUU).
Rekod PN, kata Anwar, tercalar pada
sesi pembukaan Dewan Rakyat dengan tindakan menukar Speaker di tengah-tengah
pandemik Covid 19 yang belum berakhir.
"Tindakan legislatif pertama
kerajaan PN saat pandemik Covid 19 adalah menukar Speaker Dewan Rakyat. Ia
tidak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah di dunia.
"Apa yang mengekori sejurus itu
adalah corak dan gaya pentadbiran BN di masa lalu yang mempunyai ciri-ciri
tatanan yang tidak cukup sifat dan roh demokrasi," katanya dalam satu
kenyataan.
Berhubung kelulusan RUU
Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019
(COVID-19) pula Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan ianya telah
terlambat dan tidak banyak membantu rakyat.
"RUU ini sepatutnya dibentangkan
lebih awal bagi menampan dampak Covid 19. Kelewatan dan alasan yang diberikan
kerajaan PN tidak memberi sebarang makna kepada para pekerja dan keluarga yang
memerlukan bantuan dan dukungan yang secukupnya.
"Ia mungkin terlalu lewat jika
diambilkira penguncupan KDNK negara pada kadar 17.1% pada suku kedua tahun
2020. Pakatan Harapan (PH) tetap menyokong RUU ini, namun menggesa Kementerian
Kewangan untuk menggandakan peruntukan dari RM45 bilion ke RM90 bilion dengan mengambilkira
dampak wabak ke atas ekonomi dan warga," katanya.
Walau bagaimanapun, PH menurut Anwar,
boleh dinilai sebagai blok yang mengutamakan rakyat apabila menyokong kelulusan
RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. RUU yang dimulakan oleh kerajaan PH itu
mengenakan hukuman yang keras ke atas pemandu mabuk yang mengakibatkan
kecederaan dan kematian.
Manakala RUU Majlis Keselamatan
Negara (Pindaan) 2020 yang dibentangkan oleh kerajaan PH terdahulu berhubung
pelantikan Ketua Pembangkang ke dalam Majlis Keselamatan Negara bagi mengelak
sebarang salahguna kuasa ditolak oleh kerajaan PN.
"Kerajaan PN juga telah menarik
balik dua rang undang-undang yakni RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis
2019 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019," kata Anwar lagi.
Penolakan itu, menurut Anwar telah
mensia-siakan usaha reformasi sistem dan menidakkan peluang ke arah menjadikan
pasukan polis lebih dihormati dan berintegriti.
Begitu juga RUU yang mahu menghadkan
tempoh penggal jawatan Perdana Menteri sehingga dua penggal, kata Anwar,
sewajarnya mendapat tempat untuk disokong oleh kerajaan PN yang mendakwa ingin
membawa pembaharuan kepada rakyat.