DR FAISAL TEHRANI
Tulis Ebit Lew: “Allah adalah pemilik semuanya dan kita hanya
terkesan dengan Allah. Semua kuasa dan orang boleh buat apa sahaja terhadap
kita namun semua itu tidak boleh beri kesan kepada kita. Kami ada Allah. Kami
ada Allah. Di padang Karbala, Husayn berkata, ‘Kamu hendak takutkan aku dengan
kematian, sedangkan dengan kematian inilah aku boleh berjumpa Tuhanku Allah’.”
Sayang sekali, Ebit Lew tidak sedikit pun menghuraikan apa punca
Husayn berada di Karbala, atau siapa yang mengancamnya dengan kematian, atau
mengapakah dia sedia untuk syahid. Ebit hanya berhujah sebarang usaha
menakutkan orang beriman dengan kematian, mungkin besar menemui kegagalan.
Takut adalah satu kaedah untuk berkuasa. Takut adalah terror.
Takut adalah satu alat yang digunakan oleh penguasa tirani dan juak-juak
penyangak mereka. Apabila rakyat ditakut-takutkan, selalunya mereka akan
mengalah, diam seribu bahasa, dan lebih dahsyat ialah menyertai penjahat.
Ada banyak bukti Yazid Mu’awiya menakut-nakutkan umat Islam
ketika memerintah. Selain kejadian di Karbala, terdapat kejadian Harrat Waqim
yang mana tentera Yazid diketuai Muslim Uqba dan Marwan al-Hakam menyerang kota
suci Madinah. Pertempuran dahsyat ini berlaku akhir Dzulhijjah tahun 63 H.
Tentera Yazid diberi kebebasan untuk memperkosa wanita, membunuh, menyamun, dan
memusnahkan sewenang-wenangnya selama 3 hari. Seramai 80 orang dari para sahabat
nabi dan 700 orang penghafal Al-Quran terkorban.
Jadi, takut adalah senjata. Terror atau takut
adalah peluru.
Syed Farid Alatas merakamkan senjata ketakutan ini dengan
baiknya dalam sebuah komentar beliau, “Antara Iktibar Pilu Hari Asyura” (2015):
“Yazid bergembira, berpesta, dan memancangkan kepala Husayn di
atas tombak dan memperagakannya di seluruh kota Kufah dan Damsyik supaya
memberi amaran pada umat agar tidak melawan dan memberontak pada kerajaan.”
Sudah ramai menulis mengenai peristiwa Karbala dan bagaimana
Husayn serta ahli keluarga dan sahabatnya terkorban dibunuh oleh tentera
Umaiyyah yang ketika itu ditakhtai Yazid. Seperti terlihat, ramai yang menulis
mengenai kekerasan, dan pembunuhan demi pembunuhan yang dilakukan oleh rejim
Yazid ini pada 10 Muharram, tahun 61 H.
Untuk beroleh sokongan, tentera Yazid dan juga pelaku-pelaku
kunci pembunuhan ini seperti Ubayd Allah Ziyad dan Umar Sa’ad menakut-nakutkan
rakyat Kufah dan penyokong Husayn dengan kezaliman yang tiada belas kasihan.
Sebelum peristiwa pembunuhan di Karbala, wakil dan penyokong
Husayn seperti Muslim Aqil dan Hani Urwah ikut dibunuh dengan kejam. Muslim
misalnya dibuang dari tempat tinggi dan mayatnya sengaja dibuang di tempat
sampah.
Namun demikian, kekerasan atau terror yang gunanya
menakut-nakutkan orang bukanlah satu-satu cara untuk melemahkan penyokong
kebenaran. Adalah mudah untuk tidak takut. Untuk orang seperti Husayn, takut
tiada dalam kamusnya. Ini kerana kecintaan beliau hanya kepada Allah dan
mengatasi rasa takut. Demikian juga pengikut-pengikutnya.
Aksi gempur dan gempar tidak menakutkan sama sekali. Persis apa
yang disebutkan oleh Ebit Lew. Malah mereka yang bersama dalam rombongan Husayn
ke Karbala itu adalah veteran pelbagai perang sejak zaman Badr, Uhud, Ahzab dan
sekian banyak lagi perang saudara seperti perang Jamal dan Siffin. Takut tidak
mematahkan kenekadan ramai orang.
Kita melihat keganasan, pembunuhan dan terror tidak
mematahkan semangat orang seperti Nelson Mandela. Dia malah berjuang dari dalam
penjara. Jose Rizal, pejuang kemerdekaan Filipina digentarkan tetapi tidak
patah walau pun sekali kecuali akhirnya terkorban oleh muntahan peluru
Sepanyol.
Pendek kata, ada orang berani mati kerana kematian itu memang
didambakan.
Konsep kematian begini misalnya ada dalam budaya Jepun iaitu seppuku dan harakiri.
Ia juga ada dalam budaya Islam yang mana ia dinamai syahid. Ini kerana kematian
untuk sesuatu yang benar dan suci akan sentiasa menyiram pohon keimanan dan
kebenaran.
Akan tetapi ada satu lagi senjata selain ketakutan yang kurang
dibincangkan orang. Husayn tidak sahaja terbunuh kerana mereka yang berada di
Karbala itu takut dihukum oleh Yazid ataupun Ubayd. Dalam banyak keadaan,
mereka yang menyertai pasukan tentera berjumlah 20,000 orang untuk membantai 72
orang pengikut Husayn itu melakukannya bukan kerana percaya menakut-nakutkan
itu akan membuatkan keluarga Rasulullah mengalah. Mana mungkin keluarga nabi
akan mengalah dan gerun dengan terror.
Mereka yang masuk pasukan Umaiyyah itu hadir bukan hanya untuk
menakutkan.
Senjata lain dari keganasan atau terror itu tidak
lain tidak bukan adalah rasuah. Yang berada di Karbala itu melakukannya demi
habuan. Mereka sanggup membunuh cucu cicit Nabi Muhammad kerana mereka diberi
hadiah, ditaburi kenikmatan dunia, dan tamakkan kesenangan.
Rasuah ketika era Yazid bukan kecil-kecil. Malah budaya rasuah
itu sudah berkembang biak sejak zaman Khalifah Uthman Affan seperti disentuh
mendalam oleh Abul A’la Maududi dengan tajuk “Khilafah dan Kerajaan: Satu
Penilaian Kritis Terhadap Sejarah Pemerintahan Islam” (1986) dan, karangan Taha
Husain dengan tajuk terjemahannya “Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam” (1990).
Salah seorang pelaku kunci keganasan di Karbala adalah Umar
Sa’ad. Dia adalah anak kepada salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Sa’ad
Abi Waqqas. Mengapa dia tergamak membunuh cucu Rasulullah? Membunuh bukan
perkara kecil.
Untuk mengujakan Umar Sa’ad memerangi Husayn, Ubayd menjanjikan
jawatan gabenor kota Rey (sebuah daerah subur di Parsi). Padahal sewaktu
remajanya, Umar pernah bertemu bapa Husayn iaitu Ali Abi Talib yang memesankan,
akan tiba satu saat kamu berada di antara syurga dan neraka tetapi kamu memilih
neraka.
Pernah satu masa, Umar dalam dilema. Adakah dia harus berada di
blok pemerintah (Yazid) atau blok pembangkang (Husayn). Dia sangat khuatir dan
tidak dapat memikirkan perbuatan membunuh cucu nabi itu, tetapi dia juga tidak
sanggup melepaskan peluang untuk menjawat kedudukan besar di Rey. Dalam benak
Umar Sa’ad hanya ada Rey. Ubayd mengancam Umar yang jika dia tidak berdaya
melakukan permintaan Yazid maka posisi Rey akan terlepas. Rasuah Rey. Itulah
menjadi titik perubahan Umar, titik dia berani untuk membunuh Husayn, maka dia
menyahut;
“O Ubayd tak usah harapkan orang lain. Aku sendiri akan ke
Karbala.”
Ubayd tahu terdapat 20,000 pucuk surat diutuskan oleh penduduk
Kufah untuk memilih Husayn. Tokoh pembangkang itu tokoh yang terkemuka semua
segi. Dia tahu jika bertanding dari segi wibawa, Yazid akan kalah. Maka Ubayd
melakukan suatu perbuatan keji, memutar belit fakta, dan merasuah rakyat atau
pengundi Kufah. Kata Ubayd yang saya petik dan terjemah dari Nafasul
Mahmoom oleh Abbas Qummi;
“Wahai orang Kufah. Kamu telah menduga keluarga Abu Sufyan Harb,
dan kamu telah mendapati mereka seperti yang kamu hendaki. Ini adalah komander
orang yang beriman, Yazid, yang perangainya jujur, seorang yang akhlak baik dan
bersikap belas pada rakyat. Dia memberikan hak kepada semua orang, dan
menjadikan jalan raya kamu selamat. Dia seperti ayahnya, Muawiyah, yang juga
baik. Dan anaknya Muawiyah ini juga menghormati Allah dan memberikan kekayaan
dan memberikan hadiah buat mereka. Dia telah meningkatkan ganjaran untuk kamu
100% dan telah menitahkan aku memberi lebih banyak lagi, asalkan kamu mahu
menentang musuhnya Husayn. Maka dengarlah katanya dan patuhilah dia.”
Sebaik Ubayd turun mimbar, dia memerintahkan “hadiah” diberikan
kepada semua penduduk Kufah. Rasuah; inilah yang – tidak – diperkatakan oleh
Ebit Lew dan Syed Farid Alatas. Rasuah mengakibatkan kejadian Karbala, dan
Husayn dibunuh kerana ada orang yang sanggup memejam mata oleh rasuah. Jadi
punca kejadian jahat ini dan banyak kejadian sebelum-sebelumnya; dan juga
kejadian selepasnya – sehingga hari ini – adalah rasuah.
Oleh yang demikian, jika ada mana-mana pemimpin umat Islam tidak
kira Arab, Parsi, atau Melayu (Jawa atau Bugis) yang melakukan rasuah,
menyogok, dan menawarkan; kita mesti ingat rasuah ini mungkin satu senjata.
Kita mesti ingat boleh jadi saja kita tidak takut dengan
kematian, tetapi kita juga boleh jadi berani dengan kehidupan dunia. Untuk
hidup kita berani mengkhianat amanah, untuk hidup kita berani melanggar mandat,
untuk hidup kita berani berbolak-balik fatwa, untuk hidup kita berani melakukan
perbuatan nifak, untuk hidup kita berani membohongi rakyat, untuk hidup kita
berani melanggar aturan dan adat, untuk hidup kita berani menabur gula-gula
(G), lantikan (L), dan calon (C). Untuk hidup ada ulama berani menjaja dalil.
Mereka yang membunuh Husayn itu bukan orang jahil belaka, mereka pernah belajar
ilmu agama. Serban mereka besar, jubah mereka bagaikan pukat.
Untuk hidup Umar Sa’ad sanggup sangap jawatan gabenor Rey dan
memancung Husayn.
Rasuah yang membunuh Husayn cucunda Rasulullah di Karbala itu
bukan berlaku sehari. Peristiwa Karbala itu puncaknya. Hulunya scheme
of things. Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong
lama-lama mencuri; Keria karipap denderam kuih pauh, menabur rasuah lama-lama
membunuh.