Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa ‘Menteri pengkhianat’ tampil menjelaskan projek rundingan terus (RT) yang diluluskan kementerian mereka semasa masih bersama Pakatan Harapan (PH).
Ini termasuk:
- Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meminta RM 517.7 juta;
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) meminta RM 170.8 juta;
- Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (Dato Seri Azmin Ali) meminta RM 1.2 juta; dan
- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Datuk Seri Rina Harun) meminta RM 7.36 juta.
“Menteri-menteri ‘pengkhianat’ ini harus tampil ke depan untuk membuktikan mereka tidak bohong, tidur dalam Kabinet atau terlalu sibuk mengaturkan ‘Langkah Sheraton’,” ujarnya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.
Untuk rekod, ‘Menteri pengkhianat’ merujuk kepada Ahli Parlimen yang terlibat dalam komplot Langkah Sheraton sehingga menyaksikan kerajaan PH yang menerima mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum 2018 tumbang.
Menurut Guan Eng, Menteri yang “setia kepada mandat rakyat pada PRU 2018″ telah menjelaskan dengan terperinci berkenaan projek RT dalam kementerian yang diterajui mereka sebelum ini.
Mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo antaranya menegaskan kerajaan PH tidak membayar sesen pun untuk siaran langsung Piala Dunia 2018.
Siaran langsung tersebut antara projek RT yang disenaraikan Menteri Kewangan, Tengku Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menggesa Zafrul mendedahkan projek RT zaman BN dan yang telah diluluskan oleh beliau sendiri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Buktikan semua projek RT yang diluluskan oleh Zafrul sendiri adalah teratur dan berkepentingan awam. Biar rakyat buat penilaian sendiri, kerajaan mana yang mendokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
“Jangan ada double-standard atau “antara dua darjat” seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) yang hanya berhasrat mengkaji projek RT PH, tetapi tidaknya projek RT BN atau PN.
“Biar fakta berbicara dengan sendirinya. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar,” ujarnya.