Jangan terjerat dalam persepsi



Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini menulis artikel rencana mengenai Lim Guan Eng. Ahli Parlimen Muar itu menceritakan bagaimana beliau pada usia muda pernah ‘terpesona’ dengan kisah momokan terhadap Guan Eng.
Tulis Syed Saddiq: “Komunis, bersekongkol dengan negara asing dan mencabul hak Melayu. Keseluruhan ayat ini terdengar seperti karya fiksyen: momokan Melayu paling utama.
“Ini adalah dongeng yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi dan saya adalah seorang daripada mereka yang terpesona dengan kisah seperti itu pada usia muda.
“Cerita mengenai seorang ahli politik dari DAP. Cerita mengenai Lim Guan Eng.”
Namun begitu, jelas bekas menteri belia dan sukan itu, setelah bersama Guan Eng dalam perjuangan sama, beliau mula menyedari bahawa bekas menteri kewangan itu sebenarnya tidak begitu mementingkan kuasa.
Sebaliknya, kata Syed Saddiq, Guan Eng adalah seorang negarawan – matlamatnya cuma satu iaitu untuk membina sebuah Malaysia yang lebih baik.
Naratif negatif
Naratif negatif terhadap pemimpin DAP dan DAP secara umumnya, telah wujud dan berada di minda segelintir orang Melayu sejak sekian lama. Ia dipupuk dan disemai pihak tertentu.
Maka, DAP akan digambarkan sebagai ‘the bogeyman’ yang membawa ancaman kepada orang Melayu. Bagi orang Melayu yang menyokong DAP, tindakan mereka akan dipersoalkan, seolah-olah mengkhianati bangsa mereka sendiri.
Dengan itu, keluarlah panggilan-panggilan negatif terhadap mereka. Anak Melayu yang menyokong DAP terus dikecam di media sosial dengan bantuan cybertrooper yang terus menerus memainkan isu tersebut.
Bagi pihak-pihak ini, DAP seolah-olah tidak boleh disertai langsung oleh orang Melayu. Penyertaan politik orang Melayu perlu terhad kepada kumpulan-kumpulan tertentu dan bukannya dalam DAP.
DAP parti pelbagai kaum
Walhal, perlu disedari bahawa DAP  adalah sebuah parti pelbagai kaum yang sah. Ia terbuka keahliannya kepada warganegara Malaysia daripada mana-mana kaum, agama, gender, budaya dan wilayah.
Ideologinya adalah sosial demokrasi.
Menyingkap sejarah, sejak penubuhannya pada 1966, DAP memiliki banyak pemimpin dan calon pelbagai kaum termasuk Melayu. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 iaitu pilihan raya pertama disertainya, sebanyak 10 calon Melayu telah diletakkan oleh DAP.
Daripada 10 calon itu, sembilan adalah untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu untuk Parlimen. Dua daripada mereka berjaya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Kemudiannya, ramai calon Melayu DAP telah memenangi kerusi DUN serta Parlimen. Pada PRU 2013, DAP meletakkan empat calon Melayu di tiaga kerusi Parlimen (Zairil Khir Johari di Bukit Bendera. Ariff Sabri Abdul Aziz di Raub, Mahdzir Ibrahim di Tanjung Piai) dan satu kerusi DUN Pahang (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Mentakab).
Selepas itu, DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud di pilihan raya kecil Teluk Intan 2014.
Bagi PRU 2018, calon-calon Melayu DAP untuk kerusi DUN ditambah menjadi sembilan. Untuk Parlimen, Tengku Zulpuri bertanding di Raub. Kesemua kerusi kecuali di Pulau Manis, telah dimenangi.
Semua ini membuktikan bahawa DAP sentiasa membuka ruang penyertaan kepada masyarakat pelbagai kaum termasuk orang Melayu. Dan, DAP dari aspek perjuangannya, tidak berjuang kerana kaum atau agama tertentu.
Sehubungan itu, kita jangan sekali-kali terjerat dalam serangan persepsi terhadap DAP ini. Kita perlu pandai mengelakkan diri daripada mengikut rentak pihak terbabit. Sebaliknya, mari bersama-sama berjuang untuk Malaysia yang lebih baik, adil dan harmoni. 

No comments: