Pagi tadi saya berkesempatan berbual agak panjang dengan seorang pemimpin yang menjadi Ahli MPT Bersatu Pusat.
Beliau adalah Ahli MPT yang pro kepada Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu merangkap Perdana Menteri sekarang ini.
Berbagai perkara dan topik kami perbualkan – tentang Muhyiddin, Tun Mahathir Mohamad, masa depan Bersatu, hubungan Bersatu dengan UMNO dan PN, usaha menjatuhkan Perdana Menteri, pilihanraya awal secara mengejut dan macam-macam lagi.
Berkenaan usaha menjatuhkan Muhyiddin, terutama yang digerakkan oleh Tun Mahathir, beliau tidak yakin nombor atau jumlah Ahli Parlimen yang diperlukan akan mencukupi bagi tujuan itu.
Menurut beliau, sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin mempunyai banyak kelebihan bukan saja untuk menghalang, tetapi juga untuk menarik Ahli Parlimenn pembangkang agar menyokong kerajaan.
“Itu kelebihan yang tidak boleh dinafikan, cuma Perdana Menteri belum menggunakan lagi kelebihan itu, mungkin menunggu langkah yang akan dimulakan oleh Tun Mahathir terlebih dahulu,” katanya dengan yakin.
Lebih beliau tidak yakin usaha menjatuhkan Muhyiddin itu akan menemui kejayaan ialah jika ianya dilakukan tanpa sokongan Anwar Ibrahim dan PKR untuk menjayakannya.
Tambahnya, dengan 38 Ahli Parlimen dimiliki oleh PKR dan jika Anwar kekal dengan pendirian menolak atau tidak mahu menyokong Tun Mahathir, hampir pasti atau terlalu sukar usaha menjatuhkan Muhyiddin daripada menjadi kenyataan.
Malah, beliau juga penuh yakin Anwar tidak akan sedia menyokong atau bekerjasama dengan Tun Mahathir setelah Presiden PKR itu dipermain-mainkan dengan janji peralihan kuasa sebelum ini.
“Saya penuh yakin Anwar ada ketegasan yang jitu kali ini di mana beliau tidak akan membiarkan dirinya dipatuk buat kali ketiga oleh Tun Mahathir,” tambah Ahli MPT itu lagi.
Ditanya lebih lanjut jika Tun Mahathir terus berusaha ke arah itu, beliau menegaskan, Muhyiddin tidak akan membiarkan dirinya dijatuhkan begitu saja.
Muhyiddin katanya, pasti akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihanraya awal diadakan sebelum dirinya dapat dijatuhkan.
“Dalam pertemuan dengan pimpinan parti dua minggu lalu, Muhyiddin memang telah membayangkan kemungkinan ke arah itu dan meminta semua pihak bersiap sedia menghadapi pilihanraya awal itu,” ujar beliau seterusnya.
Kata beliau, peringatan Muhyiddin itu memberi erti bahawa mengadakan pilihanraya awal memang sentiasa ada dalam pertimbangannya.
Ahli MPT Bersatu itu juga memberitahu, Muhyiddin ketika ini sedang mengadakan perbincangan aktif dengan pimpinan parti-parti lain dalam PN bagi menyelesaikan beberapa perkara seperti pembahagian kerusi sebagai persiapan ke arah mengadakan pilihanraya awal itu.
“Saya yakin soal pembahagian kerusi akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.
“Selepas itu, jika apa-apa berlaku, Muhyiddin tiada masalah lagi untuk memanggil pilihanraya secara mengejut,” kata beliau..
Tetapi, beliau mengingatkan, jika pilihanraya awal diadakan, bagaimana Tun Mahathir mahu menghadapinya?
“Adakah PH sedia lagi bekerjasama dengannya, sedangkan untuk menjatuhkan Muhyiddin pun Anwar tidak mahu bersama dengan Tun Mahathir?” soal Ahli MPT itu lagi. (Shahbudindotcom 22/06/2020)