AMANAH TIDAK PERNAH MENOLAK ANWAR SEBAGAI PM, DUA OPSYEN DIPUTUS OLEH MAJLIS PRESIDEN SEBELUM PKR BUAT KEPUTUSAN TAK MAHU TUN M JADI PM9



PH bersetuju untuk mencalonkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai calon PM9. Sokongan solid ini telah dilaksanakan ketika mengadap Yang Di-Pertuan Agong pada 26 Februari lalu. Namun, setelah kerajaan PN ditubuhkan pada 1 Mac 2020, PH tetap tidak berputus asa untuk mengambil balik kerajaan Persekutuan. Mengikut Perkara 43(2) a) Perlembagaan Persekutuan, PM yang dicadangkan perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 MP.

2. Dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 30 Mei 2020, telah dipersetujui terdapat 2 opsyen bagi pencalonan PM9 iaitu opsyen pertama PM (DSAI) dan TPM (Dato’ Seri Mukhriz Mahathir) dan opsyen kedua PM (Tun Mahathir Mohamad) dan TPM (DSAI). Telah dipersetujui PH bahawa opsyen 1 perlu diusahakan sepenuhnya terlebih dahulu dan jika gagal, opsyen 2 boleh dipertimbangkan. Opsyen 1 dipersetujui Tun Mahathir tetapi masih tidak cukup bilang (112 MP). Jika opsyen 2 diusahakan, bilangan MP mungkin boleh mencukupi dan jalan untuk DSAI menjadi PM lebih mudah dan licin kerana sepanjang tempoh 6 bulan tersebut, DSAI bertindak sebagai TPM. Kedudukan sebagai TPM lebih selesa bagi mencari lebih banyak sokongan MP dan menambahkan keyakinan rakyat.

3. Opsyen 1 telah gagal dicapai walaupun pelbagai usaha telah dibuat oleh ketiga-tiga parti kompenen PH (PKR, Amanah dan DAP). Menunggu opsyen 2 dibincang dan dipertimbangkan, PKR telah membuat keputusan menolak pencalonan Tun Mahathir sebagai PM9. Keputusan ini dihormati oleh Amanah. Kini, PH kekal pembangkang dan PN kekal pemerintah di Malaysia.

4. Oleh itu, tidak timbul soal Amanah tidak mencalonkan DSAI sebagai PM9. Jauh sekali mengkhianati DSAI. Amanah berdiri teguh bersama kepimpinan DSAI dan kesepaduan PH. Peluang untuk PH membentuk semula kerajaan Persekutuan dan mengkuburkan PN masih terbentang di hadapan. Pintu rundingan sentiasa terbuka. Usah mendarat sebelum tiba di landasan. Politik juga ibarat sebuah kapal yang dicipta untuk belayar menempuh gelora dan bukannya berlabuh tanpa arahtuju.

5. PH perlu segera membentuk semula kerajaan bagi mengembalikan mandat rakyat, menghalang lebih ramai kleptokrat bebas serta memastikan agenda perubahan urus tadbir dan pemulihan ekonomi diteruskan PH. Maka, menjadi kerajaan bukan satu pilihan dan ia adalah mudarat lebih kecil.

6. Justeru, saya menyeru semua penyokong PH berhenti menyerang dan menyalahkan antara satu sama lain. Peluru tidak harus dibazirkan. Serangan seharusnya dihala kepada PN. Bersamalah kita perkukuhkan PH. Kita adalah PH dan PH adalah kita.

Faiz Fadzil
20 Jun 2020

No comments: