10 SEBAB KENAPA PILIHANRAYA WAJIB DISEGERAKAN


Perkembangan mutakhir ini memperlihatkan kedua-dua belah pihak – baik PH atau PN – semuanya diselubungi kecelaruan dan ketidaktentuan.
PH yang mempertikai keabsahan kerajaan terus diselubungi kecelaruan dalam memilih antara Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri, manakala PN dengan majoriti tipis juga celaru sama ada mahu mengekalkan lagi Muhyiddin Yassin daripada Bersatu sebagai Perdana Menteri atau calon daripada UMNO perlu dikembalikan memegang jawatan tersebut.
Sebagaimana disebut oleh Najib Razak minggu lalu, pilihanraya semula adalah penyelesaian terbaik kepada masalah politik yang ada dalam negara sekarang ini.
Kemudian, Anwar dan Mohamad Sabu dalam kenyataan media mereka juga tidak menolak kemungkinan pilihanraya awal akan diadakan dan menyeru ahli parti masing-masing bersiap sedia menghadapinya.
Beberapa pemimpin UMNO lainnya turut menyambut baik keperluan mengadakan pilihanraya awal untuk menyelesaikan kekalutan serta kecelaruan yang ada ini.
Berikut 10 sebab mengapa pilihanraya semula dengan segera adalah lebih baik berbanding menunggu sehingga Parlimen dibubarkan mengikut tempohnya pada tahun 2023:-
1. Hanya melalui pilihanraya awal saja pertikaian mengenai keabsahan dan kedudukan majoriti kerajaan yang sudah berlarutan sekian lama ini dapat diselesaikan.
Parti mana pun yang menang dan menjadi kerajaan nanti, kedudukan mereka tidak akan menjadi pertikaian lagi.
2. Melalui pilihanraya awal juga, PN yang menjadi kerajaan sekarang dapat memutuskan sama ada tiga parti utamanya – UMNO, Bersatu dan Pas – perlu bekerjasama atau tidak.
Jika mahu terus bekerjasama, oleh kerana Muhyiddin Yassin sudah memegang jawatan Perdana Menteri, mahu tidak mahu, UMNO terutamanya, perlu menerima perkara itu dengan lapang dada.
3. Sebaliknya, jika UMNO yang sudah mewujudkan Muafakat Nasional bersama Pas tidak mahu lagi berperdana-menterikan Muhyiddin dan mahu pemimpin UMNO sendiri menjadi Perdana Menteri selepas itu, pilihanraya awal juga adalah titik penting untuk membuat keputusan mengenainya.
Tida perlu lagi UMNO menjalin hubungan yang pura-pura atau tidur sebantal tapi mimpi lain-lain dalam nikah kahwin politik yang dijalinkan seperti dalam PN sekarang.
4. Kiranya Najib Razak ingin mencatat rekod sebagai pemimpin UMNO yang berjaya menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali melalui parti yang sama, pilihanraya awal adalah satu-satu jalan untuk mencapai tujuan tersebut.
Walaupun Najib bukan Presiden UMNO dan Pengerusi BN, tetapi sekiranya MN berjaya membentuk kerajaan, berdasarkan kemampuan dan kelayakan, rasanya tidak ada masalah untuk Zahid Hamdi memberi laluan kepada Ahli Parlimen Pekan itu untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri.
Zahid Hamidi tentu sedar kelebihan Najib dari segi kemampuan dan kelayakan berbanding dirinya.
Yang paling penting bagi mencapai tujuan itu ialah pilihanraya awal mesti digerakkan agar tidak tidak dapat tidak, mesti diadakan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Najib.
5. Sejak kembalinya semula Tun Mahathir dalam arena politik melalui PH – berjaya menjadi Perdana Menteri, banyak berdalih enggan berpegang pada janji, kemudian meletakkan jawatan, menolak nasihat Yang Dipertuan Agong agar jangan berbuat demikian dan kini terhegeh-hegeh mahu menjadi Perdana Menteri semula – beliau sudah dianggap sebagai “pengacau nombor satu” dalam caca marba politik negara ini.
Apa lagi, keberadaannya dalam politik ini dilihat tidak lain hanya kerana ada dendam tak bersempadan, terhadap Anwar, Najib dan juga Muhyiddin.
Tetapi, dengan adanya pilihanraya awal dan kedudukan Tun Mahathir sendiri yang tidak berparti serta tidak ada sesiapa yang akan menandatangani watikah calon untuknya, ruang untuk bertanding sekali lagi adalah sangat tipis.
Malah, kalau bertanding pun, terutamanya jika bersendirian tanpa dinaungi PH, beliau hampir pasti akan kecundang dengan mudah di Langkawi.
Bermakna, jika ada pilihanraya awal, kemungkinan Tun Mahathir tidak bertanding adalah cerah dan dengan itu, politik negara akan bebas daripada segala gangguan dan dendamnya kerana tidak lagi bergelar Ahli Parlimen.
6. Jika ada pilihanraya awal, sekutu Tun Mahathir dalam PN iaitu Azmin Ali dan kumpulannya yang berasal daripada PKR dan kini menumpang secara setinggan dalam Bersatu, juga hampir akan tenggelam dan tidak mampu bertahan lagi.
Dengan rekod sebagai pengkhianat sewaktu dalam PH sebelum ini, kedudukan kumpulan Azmin dalam PN amat sukar diterima, terutama oleh UMNO.
Kalau pun UMNO dan Pas sedia bekerjasama dengan Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin, tetapi UMNO tidak mungkin dapat menerima Azmin dan kumpulannya dan dalam masa yang sama tak pasal-pasal terpaksa memikul beban moralnya yang jijik itu.
Dengan itu, sama seperti Tun Mahathir, Azmin dan kumpulannya juga boleh diketepikan melalui pilihanraya awal dan politik negara akan bebas daripada segala pengacau dan pengkhianat selepas itu.
7. Tetapi, jika UMNO dan Pas melalui MN tetap keras hati tidak mahu menerima Bersatu dan tetap ingin menjadikan lambang dacing dan bulan sebagai simbol yang diyakini untuk dijadikan pilihan pengundi, pilihanraya awal boleh menjadi pilihan terbaik untuk Munyiddin bersara terus daripada dunia politik.
Beliau boleh memilih untuk terus berehat, memastikan kesihatannya terkawal dan menghabiskan usia persaraan dengan masa berharga bersama keluarganya seperti Tun Abdullah Badawi.
Yang penting, rekod dan impian untuk menjadi Perdana Menteri sudah pun tercapai buatnya.
8. Kalau itu keadaannya, pilihanraya awal nanti bakal menyaksikan pertandingan bersih antara PH yang di dalamnya ada PKR, DAP dan Amanah yang akan berlawan dengan MN yang dianggotai UMNO, BN dan juga Pas.
Berdasarkan perkembangan semasa, kedua-dua pihak dilihat memiliki keupayaan seimbang untuk menang dengan PH mempunyai lebih sokongan di kawasan bandar, separa bandar dan di kalangan pengundi bukan Melayu, sementara MN ada kelebihan di kawasan Melayu, kampung serta luar bandar.
Apa pun hasilnya, dua gabungan yang bertanding itu akhirnya akan menghasilkan natijah politik yang sihat kerana tiada lagi pengcau, pengkhianat dan mereka yang berdendam berpeluang bergelar Ahli Parlimen di dalamnya.
9. Selepas keputusan pilihanraya awal itu nanti, jika tiada pihak mampu mendapat majoriti yang stabil, atas kepentingan negara, adalah tidak mustahil PH dan MN lebih memilih untuk bekerjasama bagi membentuk sebuah kerajaan campuran atau perpaduan berdasarkan kemajmukan dalam negara.
Matlamat kerajaan itu nanti tidak lain ialah untuk memajukan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara seperti mana banyak negara lain di dunia ini sudah pun membentuknya.
10. Dalam kerajaan perpaduan tersebut, tentunya berdasarkan pihak mana antara PH dan MN yang menang lebih banyak kerusi, mungkin Anwar lebih dulu jadi Perdana Menteri, kemudian diambil alih oleh Najib atau Najib lebih dulu jadi Perdana Menteri dan kemudian barulah Anwar menggantikannya.
Namun, oleh kerana tiada pengacau dan pengkhianat lagi, juga tidak ada dendam peribadi antara keduanya, janji peralihan kuasa yang bakal berlaku nanti dijamin boleh berjalan dengan lancar, mudah serta tidak berbelit-belit dengan pelbagai alasan untuk memungkirinya.
Sekali lagi, dengan negara bebas daripada pengacau, pengkhianat dan dendam kesumat, apa pun keadaan politik pasca pilihanraya awal, ia jauh lebih aman, tenang dan mendamaikan berbanding sekarang. (Shahbudindotcom 22/06/2020)

No comments: