ANTARA YANG TOLAK DAN TERIMA MAHATHIR


Zubaidi Sudin



A A A

Satu lagi kekeliruan yang timbul di antara mereka yang bersetuju dan menolak Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri PH ialah berhubung tempoh enam bulan yang dipohon oleh Pengerusi Bersatu terpecat itu.

Tun Mahathir, sebagaimana diberitahu oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya, telah meminta untuk dirinya sendiri dijadikan Perdana Menteri sekali lagi selama enam bulan dalam mesyuarat PH Plus pada 9 Jun lalu.
Selepas memegangnya selama enam bulan itu, Tun Mahathir berjanji akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar Ibrahim.
Kemudian, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, ada cara tertentu boleh dilakukan untuk memastikan Tun Mahathir terikat dalam melaksanakan janji enam bulan tersebut.
Ia katanya, melalui perjanjian hitam putih, selain parti-parti dalam PH juga boleh menarik sokongan daripada Tun Mahathir jika beliau memungkiri janjinya.
Dengan menarik sokongan tersebut, tambah Anthony Loke, kedudukan Tun Mahathir akan jatuh dengan sendirinya, seterusnya membuka laluan kepada pilihanraya semula terpaksa diadakan.
Melalui janji Tun Mahathir beserta hujah Anthony Loke itu, mereka yang menyokongnya lalu berhujah, apa masalahnya lagi untuk Anwar tidak menyetujui Ahli Parlimen Langkawi itu sebagai calon Perdana Menteri bagi PH?
Takkan masih tak yakin juga, tambah mereka dengan suara agak tinggi.
Dalam kenyataan media Saifuddin juga, ada disebut bahawa selain Tun Mahathir meminta untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi selama enam bulan, beliau juga mengatakan Anwar tidak boleh diterima untuk jawatan tersebut kerana kedudukannya sebagai pemimpin parti yang berbilang kaum.
Dalam bahasa mudah, bagi Tun Mahathir, Anwar tidak boleh sama sekali menjadi Perdana Menteri atas kedudukannya sekarang sebagai Presiden PKR.
Kenyataan itu dengan jelas menunjuklan Tun Mahathir akan memungkiri janjinya sekali lagi kerana dalam tempoh enam bulan akan datang, Anwar tentu saja masih lagi memegang jawatan Presiden PKR.
Malah, dengan hampir pasti Anwar akan kekal bersama PKR selama hayatnya kerana parti itu ditubuhkannya dengan keringat serta darah dan telah diterima dengan baik oleh rakyat, bererti janji penyerahan kuasa tidak akan dilaksanakan buat selama-lamanya oleh Tun Mahathir.
Jika tidak, kenapa Tun Mahathir mengatakan Anwar tidak boleh diterima sebagai Perdana Menteri kerana kedudukannya mengetuai parti pelbagai kaum?
Bukankah ia menunjukkan Tun Mahathir tidak akan menyerahkan jawatan kepada Anwar?
Apabila Tun Mahathir tidak menunaikan janjinya, sepertimana yang cuba diyakinkan oleh Anthony Loke, sokongan terhadap Perdana Menteri boleh ditarik untuk menjatuhkannya agar pilihanraya dapat diadakan semula.
Lalu, kata penyokong Tun Mahathir lagi, bukankah ini pilihan terbaik buat Anwar iaitu dapat menjatuhkan Perdana Menteri yang memungkiri janjinya?
Sebenarnya, ini adalah satu lagi cubaan untuk menggagalkan Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.
Dengan menarik sokongan dan pilihanraya terpaksa diadakan, walaupun beliau dijatuhkan, itulah sebetulnya yang dikehendaki oleh Tun Mahathir iaitu menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.
Mula-mula janji dimungkiri dan apabila sokongan ditarik balik, akhirnya Anwar terpaksa bergelut semula untuk memenangi pilihanraya dan meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri sekali lagi, sedangkan Tun Mahathir boleh bersara dengan gembira setelah berjaya menguasai Putrajaya buat kali yang ketiga.
Sebab itu, untuk mengelakkan dipatuk ular yang sama di lubang yang sama buat kali yang ketiga, memilih Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri adalah sesuatu yang sia-sia, membuang masa dan merbahaya.
Kecenderungan untuk beliau memungkiri janji adalah lebih tinggi berbanding menepatinya, malah telah ditunjukkan sendiri oleh Tun Mahathir dengan hujahnya Anwar tidak boleh diterima sebagai Perdana Menteri kerana mengetuai parti yang berbilang kaum.
Janji enam bulan itu hanyalah helah Tun Mahathir semata-mata, walhal niatnya yang sebenar adalah jelas untuk menidakkan atau memotong jalan buat Anwar.
Tanpa ragu-ragu, tidak memilih Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri hanyalah suatu mudarat kecil berbanding mudarat lebih besar bakal menunggu, bukan saja kepada Anwar tetapi juga kepada PH, jika memilihnya sekali lagi. (Shahbudindotcom 21/06/2020)

Kongsikan artikel ini

No comments: