Saturday, June 6, 2020

KENYATAAN MEDIA 6 Jun 2020



*PRK DUN CHINI*

Umum sedia maklum masalah wabak Covid-19 masih belum ditangani sepenuhnya dalam negara kita. Usaha gigih Kementerian Kesihatan dan petugas barisan hadapan telah berupaya mengekang penularan yang lebih meluas.

Pada masa yang sama, dalam konteks kebiasaan baharu (‘new normal’) prosedur operasi standard (SOP) sedang dirangka berhubung perjalanan pilihanraya, namun aspek keselamatan dan kesihatan para pengundi pada ketika ini masih menjadi satu kerisauan.

KEADILAN berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan. Contohnya, larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara-perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihanraya.

Maka, mengambil kira perkara-perkara di atas, KEADILAN dan Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bersetuju bahawa KEADILAN tidak akan meletakkan calon bagi Pilihanraya Kecil DUN Chini.

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung KEADILAN




No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers