Tiada ketetapan Bersatu keluar PH mesyuarat 23, 24 Feb – Marzuki
Krisis dalaman Bersatu semakin panas apabila Setiausaha Agung Bersatu yang sah Datuk Marzuki Yahya memaklumkan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 dan 24 Feb lalu tidak pernah memutuskan parti itu meninggalkan Pakatan Harapan (PH)
Menurutnya, mesyuarat sebulat suara memberi kepercayaan kepada pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad untuk membuat keputusan mengenai keanggotaan Bersatu dalam PH.
Marzuki berkata, hanya dua perkara yang jelas telah diputuskan MPT dalam mesyuarat itu.
“Selaku setiausaha agung Bersatu saya ingin menegaskan hanya dua perkara yang amat jelas diputuskan dalam mesyuarat terakhir MPT sebagai badan eksekutif tertinggi Bersatu pada 24 Februari lalu.
“Yakni, sebulat suara menolak peletakan jawatan Dr mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan sebulat suara menamakan Mahathir sebagai calon tunggal jawatan perdana menteri.
“Mesyuarat MPT yang bermesyuarat pada 23 Februari juga ingin saya ulangi bahawa tiada keputusan secara rasmi untuk Bersatu keluar PH, walaupun perkara tersebut dibahaskan.
“Tetapi pada akhirnya keputusan sebulat suara memberi kepercayaan penuh kepada Dr Mahathir selaku pengerusi parti untuk membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, Marzuki menegaskan kenyataan yang mengatakan keputusan MPT adalah untuk Bersatu keluar dari PH adalah salah sama sekali.
“Ingin saya peringatkan pemimpin utama parti dan kuasa mutlak untuk memimpin Bersatu adalah Dr Mahathitr selaku pengerusinya, selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan perlembagaan parti.
“Segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Dr Mahathir selaku pengerusi selain selaras Fasal 16.2,” katanya.
Marzuki berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin memberi amaran mana-mana ahli parti yang membelakangkan keputusan parti dan menjalin kerjasama dengan parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahlian secara serta-merta.
Selain itu, Marzuki juga mengingatkan bahawa Dr Mahathir masih pengerusi parti yang sah dan mempunyai kuasa mutlak memimpin parti, seperti ketetapan perlembagaan Bersatu.
Justeru, katanya tidak timbul isu Dr Mahathir gugur keanggotaannya di dalam Bersatu.
“Di mana salah laku yang dilakukan oleh Dr Mahathir yang melanggar peraturan parti sehingga boleh menggugurkan keahliannya?
“Sebagai anggota parlimen Langkawi beliau berhak memutuskan apa jua keputusan berlandaskan mandat yang diberi oleh rakyat dan juga pengundi di Langkawi.
“Kenyataan bahawa gugur keahlian secara automatik menurut Fasal 10.2.3 adalah tidak terpakai langsung,” tegasnya.
Sebelum ini, ahli MPT Ulya Aqamah Husamudin juga mendedahkan perkara sama dan berkata Radzi tidak telus serta menyembunyikan apa yang sebenarnya diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.
Marzuki dipecat dari jawatannya pada hujung Mac lalu oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin
Tempatnya digantikan oleh Hamzah Zainuddin. Bagaimanapun, Dr Mahathir selaku pengerusi Bersatu mengesahkan Marzuki masih setiausaha agung parti.
Bersatu terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari PH dan Dr Mahathir tidak merestui tindakan itu.
Bersatu kini membentuk gabungan atas nama Perikatan Nasional bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), serta PAS, dan disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti kecil di Sabah.