Saya masih ingat sewaktu Bersatu di Pahang mula-mula ingin berkembang, mereka menjual nama Tun M ke hulu ke hilir untuk menarik sokongan orang-orang Melayu khususnya untuk menyertai Bersatu atas alasan Umno adalah parti kleptokrat yang wajib ditentang.
Kebanyakan yang berjaya ditarik untuk menyertai Bersatu itu adalah bekas ahli-ahli Umno termasuk dari kalangan anak-anak muda. Mereka sanggup tinggalkan Umno kerana yakin Bersatu adalah parti yang boleh menggantikan Umno sebagai parti melayu yang lebih bermaruah.
Malangnya, apabila Muhyidin selaku Presiden Bersatu yang begitu kemaruk untuk menjadi PM segera, beliau sanggup menjual maruah Bersatu bahkan maruah dirinya sendiri apabila tergamak meninggalkan PH yang selama ini begitu banyak berkorban kepada parti yang beliau asaskan bersama Tun M itu untuk bekerjasama dengan Umno bagi membolehkan dirinya menjadi PM tanpa mandat rakyat.
Terdengar suara-suara kesal ahli-ahli Bersatu kerana terasa diri mereka dihina dan maruah mereka dipermainkan. Apa gunanya mereka keluar dari Umno dulu kalau sekarang Bersatu mendakap Umno kembali tanpa rasa malu dan bersalah? Kalau diketahui begini keadaannya, lebih baik mereka kekal dengan Umno dulu, kata mereka.
Bagi saya, ada hikmahnya. PH tidak perlu membersihkan parti gabungan ini dari kumpulan yang hanya fikirkan perut mereka. Akhirnya mereka sendiri keluar tanpa dihalau. Baru kita tahu selama ini mereka berjuang untuk apa. Mereka ini tidak pernah merasa susah, maka lojiklah mereka akan kembali melutut kepada Umno.
Kita simpati dengan nasib Bersatu. Umno terang-terangan tidak mengiktiraf PN sekarang, umno cuma mahu tumpang sekaki hasil dari pengkhianatan kumpulan Muhyidin dan Azmin. Umno lebih mencintai Pas. Ini jelas dilihat dari tindak tanduk Umno sekarang terhadap Muhyidin dan Bersatu.
Mukhriz selaku Timbalan Presiden Bersatu amat faham perangai Umno. Mukhriz sedar akhirnya nanti Bersatu akan berkubur dan disepak oleh Umno sebagaimana Umno pernah menyepak Pas dulu apabila parti mereka telah kuat nanti.
Di Pahang, saya akui tidak semua ahli dan penyokong Bersatu redha dengan pengkhianatan oleh Muhyidin ini. Sebab itulah hanya separuh sahaja wakil Armada dari semua Bahagian di Pahang yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Muhyidin. Akar umbi masih keliru tentang status Bersatu kerana Tun M selaku Pengerusi Bersatu masih kekal untuk menyokong PH, Manakala Presidennya Muhyidin ingin bersama Umno yang telah mencampakkannya dulu.
Saya harap bukan sahaja Armada, tetapi adalah wajar kesemua Ketua Bahagian Bersatu di Pahang berani untuk menyatakan secara terbuka bahawa mereka juga akan menyokong Muhyidin untuk bekerjasama dengan Umno. Mereka mesti berani mengakui bahawa Bersatu di Bahagian masing-masing menolak Tun M yang mahu kekal bersama PH.
Sikap terus terang ini penting agar membolehkan ahli-ahli Bersatu di bawah membuat keputusan samada ingin bersama Muhyidin untuk bergabung semula dengan parti Najib dan Zahid Hamidi itu atau menyokong PH untuk terus melawan rasuah dan mengembalikan semula mandat rakyat yang telah dirompak itu.
Buat masa ini, saya lebih suka agar PH di Pahang hanya melibatkan tiga parti asal iaitu Keadilan, Amanah dan Dap. Ini lebih memudahkan kerja kita terutamanya di dalam pengagihan Kerusi pada PRU15 nanti. Kita akan melihat nanti bagaimana Bersatu akan melutut dan merayu kepada umno dan Pas untuk mendapatkan sebiji Kerusi sahaja di Pahang.
Orang tamak selalu rugi. Pengkhianat pasti akan dikhianati.
WFAUZDIN NS