Oleh Nor Miswary Ramli
Timbalan Pengerusi DAP cawangan USJ, Subang Jaya
Kita tidak mempunyai peluang kali kedua. Masa untuk merungut akibat kegagalan menghidu dan mengekang kerja jahat Langkah Sheraton wajar dihentikan segera. Kita hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kembali berpakat dan memperbaharui tekad kerjasama yang masih berbaki.
Persoalan yang agak kritikal adalah bagaimana kita boleh mendapat kepercayaan rakyat semula?
Kenyataan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung, DAP Lim Guan Eng baru-baru ini harus dijadikan batu asas pertama untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya. Ia petanda PH tidak keletihan politik.
Kenyataan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyifatkan parti itu perlu kembali bersama PH berbanding menyertai Perikatan Nasional (PN) berikutan kedudukan kerjasama politik yang tidak menentu antara Bersatu, UMNO dan PAS.
Malah Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang telah sebulat suara menolak cadangan agar parti itu menyertai gabungan PN menjadi kayu pengukur bahawa gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja tidak disenangi oleh rakyat dan pemimpin pembangkang malah ditolak oleh parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan pada hari ini.
Kesediaan Anwar yang menyambut baik hasrat Mukhriz tersebut sudah boleh membingkai kesungguhan PH untuk memperbaiki kerjasama ini mendepani PN, Muafakat Nasional atau apa pun nama parti baharu sekali pun di dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.
Biarpun ramai yang lebih berminat agar kita mengambil kesempatan akibat kegagalan menteri atau timbalan menteri PN hari ini terutama ketika berhadapan krisis ekonomi atau sikap berpolitik dalam mengagihkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan kesan pandemik Covid-19 ini, saya tetap percaya kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia dalam membuat penilaian.
Mereka memilih Pakatan Harapan semasa PRU ke-14 yang lalu kerana kesepakatan kita memegang pada satu tali dan mengusung agenda yang sama. Nada pemimpin kita ketika itu gemanya seirama. Rakyat terpesona melihat kerjasama yang tidak pernah terjangkau oleh mereka beberapa dekad sebelum itu. Selain daripada faktor kebobrokan dan kebejatan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan kesannya kepada ekonomi serta rakyat – muafakat ahli PH juga turut memberi sumbangan yang besar dan signifikan.
Sungguhpun terdapat beberapa tokoh yang dahulunya juga disanjung dan diyakini seperti harapan yang dipanjangkan di dalam tulisan ini, namun inilah yang disebut selalu oleh orang tua kita sejak zaman berzaman – buangkanlah yang keruh, kerana yang jernih kini semakin jelas kejernihannya.
Akan tiba masanya nanti menteri kanan atau kiri itu sendiri akan berdepan dengan rakyat yang pernah memberi mereka kepercayaan dulu. Saya tidak sanggup menanggapi dengan apa-apa tanggapan. Membayangkannya pun saya tak mampu dan tak sanggup. Biarlah parti baharu mereka yang akan menguruskannya kelak.
Jika sayap pemuda Bersatu, Armada juga telah memperlihatkan keyakinan mereka untuk kembali bersama PH, saat ini, kita hanya perlu mengumpul sisa semangat yang masih ada dan melancarkan semula PH yang lebih segar dan lebih jujur. Memperkenalkan wajah-wajah muda, baharu dan energetik kepada rakyat tanda kita benar-benar bersungguh untuk memulakan semula perubahan.
Undi orang muda, mereka yang belum pernah mengundi, yang atas pagar dan yang sedang memerhati tingkah laku orang lama berpolitik sehingga memporak-peranda Malaysia yang bakal mereka warisi akan menjadi penentu hidup mati masa depan PH.