Apa yang dikejar Muhyiddin sebenarnya
Apa sebenarnya yang dikejar Muhyiddin dalam kerjaya politiknya? Apa yang diimpikan buat partinya, Bersatu?
Saya tidak mengenali dari dekat sosok yang secara tiba-tiba menjadi perdana menteri melalui “rampasan kuasa” ini. Cuma keberaniannya menentang Najib Razak, dalam skandal mega 1MDB mengujakan.
Namun, saya rasa dia keletihan mengawal anggota kabinetnya; masing-masing lebih pentingnya diri dan parti sendiri, selain berdepan pandemik Covid-19.
Dia bawa keluar Bersatu dari PH kerana takut kalah dalam PRU15, mungkin alasannya DAP nampak terlalu dominan dalam PH.
Keputusan PRK Tanjung Piai barangkali menyentaknya. Masyarakat Melayu berjaya ditakutkan bahawa Islam terancam di bawah PH. Sedangkan pengundi bukan Melayu khususnya Cina di wilayah paling selatan daratan benua Asia itu pun mengundi calon BN. DAP hanya jadi kambing hitam atas kelemahan Bersatu.
Daripada segi ini, nampak Muhyiddin bukan watak seorang pejuang sejati dan pemimpin bertanggungjawab. Dia lari daripada berdepan realiti yang rencam. Dia turut terpengaruh dengan tohmahan yang sarat rasis. Sepatutnya isu berkaitan DAP itu ditangani secara holistik dan bijaksana, bukan dengan bakar kelambu.
Ya, impian jadi PM sudah tercapai meskipun terpaksa khianati mentornya, Mahathir. Tapi apa masa depan partinya, Bersatu?
Mungkin dia boleh pertahan jawatan presiden Bersatu atas kapasiti seorang perdana menteri.
Seperti dia mengagihkan habuan buat pemimpin komponen Perikatan Nasional, apalah sangat untuk mengikat sokongan dalam parti?
Tetapi apa akan jadi pada Bersatu dalam PRU15 nanti. Umno awal-awal lagi menzahirkan rasa tidak hormat padanya.
Umno terima jawatan kabinet, menteri besar, ketua menteri, ketua agensi kerajaan, pengerusi GLC dan tangkas bolot peluang daripada projek2 besar, tapi tak mahu bersekutu dalam Perikatan Nasional. Apa sudah jadi ini? Apa punya kredibiliti sebuah parti?
Umno tidak segan-silu mahu kembalikan warisan BN dahulu, yang penuh korup itu. Umno tak mahu berkongsi kuasa secara adil dengan parti-parti lain.
Umno akan bunuh parti-parti saingannya, seperti Bersatu, terutama di konstituensi Melayu. Pengalaman sekejap Pas dalam BN dulu menjadi bukti kecil.
Umno bersama dalam kerajaan pintu belakang ini hanya kerana kepentingan dan survivalnya.
Umno mahu selamatkan pemimpinnya yang sedang didakwa di mahkamah. Umno mahu dapatkan balik dana untuk hadapi PRU15.
Umno mahu selamatkan pemimpinnya yang sedang didakwa di mahkamah. Umno mahu dapatkan balik dana untuk hadapi PRU15.
Umno mahu pastikan, saingan utamanya, Pakatan Harapan, berentap dalam PRU15 bukan atas kapasiti kerajaan.
Umno percaya parti kerajaan ada kelebihan dalam pilihan raya. Umno manipulasi segalanya demi survival politik.
Jadi, apa yang Muhyiddin dapat selepas ini?
Mampukah dia berlawan dengan Umno atau dia sekarang sedang ditarik perlahan-lahan ke dalam Umno semula?
Di antara tiga parti Melayu — Bersatu, Umno dan Pas — parti bunga raya itu merupakan parti paling lemah, belum berpengaruh, tiada pengalaman, kurang sokongan akar umbi. Bersatu mungkin hilang dalam lipatan sejarah dalam waktu singkat di bawah Muhyiddin.