Friday, April 3, 2020

Inilah terjemahan surat Hadi Awang kepada Pemimpin Gerakan Islam yang ditulis dalam bahasa Arab yang didalamnya terkandung pembohongan, fitnah dan fakta tidak benar. Surat TGHH kepada Pemimpin Gerakan Islam


Inilah terjemahan surat Hadi Awang kepada Pemimpin Gerakan Islam yang ditulis dalam bahasa Arab yang didalamnya terkandung pembohongan, fitnah dan fakta tidak benar.
Surat TGHH kepada Pemimpin Gerakan Islam

*Terjemahan: Friends of HARAPAN Jordan*
GERAKAN ISLAH SECARA AMAN, BUKAN RAMPASAN KUASA DAN REVOLUSI

Segala puji bagi Allah yang segala kekuasaan berada di tangan-Nya, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Selawat dan salam keatas junjungan besar, pemimpin dan contoh ikutan terbaik kita, Nabi Muhammad s.a.w, yang membawa rahmat dan sinaran cahaya, serta keatas ahli keluarga, para sahabat Baginda, dan sesiapa yang mendapat petunjuknya sehingga hari kiamat.

Malaysia telah terkesan dengan perancangan yang ditinggalkan oleh penjajah British dari sudut isu-isu pemikiran, kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial, yang telah diamalkan oleh pihak kerajaan dan para pemimpinnya secara terus-menerus, disamping berhadapan dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Meskipun masyarakat beragama Islam adalah golongan majoriti, tetapi keadaan semasa mereka semakin merosot, dalam urusan pembentukan kemasyarakatan dan perancangan kependudukan, disebabkan oleh kesempitan keadaan semasa masyarakat beragama Islam dalam berhadapan dengan masyarakat bukan bumiputra yang bukan beragama Islam.

Pihak penjajah telah menetapkan syarat-syarat kemerdekaan, antaranya mesti menerima kewarganegaraan bagi bangsa bukan bumiputra yang masuk ke negara ini sebagai pekerja dan buruh di bandar-bandar, sedangkan majoriti umat Islam tinggal di luar bandar dengan kekurangan kelengkapan infrastruktur. Kemudian dilaksanakan solusi-solusi yang diimport dari luar lalu dipaksakan keatas umat dalam bentuk ideologi-ideologi sekularisme yang mengakibatkan tidak dapat terbangunnya sebuah kerajaan yang kuat untuk menjaga kedaulatan umat Islam di negara mereka sendiri. Kemudian, (kerajaan itu perlu) berhadapan dengan cabaran-cabaran dalam pentadbiran kerajaan dalam keadaan penguasaan bangsa lain dalam bidang pendidikan dan ekonomi, dan kerajaan juga dilanda dengan isu-isu kerosakan, penyelewengan, rasuah dan lain-lain.

Sesungguhnya rasuah, kerosakan, dan penyelewengan harta negara yang digembar-gemburkan oleh pihak media telah berlaku beberapa dekad di negara ini, bukan hanya pada sesi kepimpinan Najib Razak. Ia adalah kesan daripada penyakit-penyakit yang menimpa kerajaan sebelumnya sejak sekian lama yang membawa kepada kelemahannya. Ia bertambah kritikal sehingga membawa kepada pergelutan politik dalam kalangan pemimpin-pemimpin perompak dalam kalangan anak bangsa yang membawa kepada berpecahnya kaum Muslimin disebabkan perbalahan dalam kerajaan sendiri.

Kemudian kehancuran politik mereka sehingga negara jatuh kepada satu situasi yang amat bahaya dalam Pilihanraya Umum baru-baru ini dengan keputusannya memihak kepada majoriti Non-Muslim dalam pakatan kerajaan (Pakatan Harapan) yang telah mempergunakan Tun Mahathir, Perdana Menteri yang lalu dan juga merupakan seorang ahli politik yang berpengalaman, untuk menjatuhkan Najib Razak. Beliau telah dipergunakan kerana usia beliau yang telah lanjut dan parti beliau yang lemah. Mereka menjadikan beliau sebagai anak tangga untuk menaiki tampuk pemerintahan secara helah tanpa mengambil kira komposisi majoriti kaum Muslimin dalam negara yang telah meningkat melebihi 69% berbanding kaum minoriti yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, yang mana ia menggalakkan lagi pertelingkahan dalaman. Selain itu, terdapat juga peluang campurtangan pihak asing yang memusuhi Islam dan kaum Muslimin seperti yang terjadi pada negara-negara Islam lain seperti negara-negara Arab.

Setelah meneliti pengalaman-pengalaman yang lalu berada dalam pakatan dari sudut yang positif dan negatif, PAS telah mengambil pendirian untuk menjadi blok ketiga (Third-Force) tanpa menerima atau bersetuju dengan pelawaan Tun Mahathir untuk menyertai Pakatannya iaitu Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan Najib Razak dan menukar kerajaan baru di bawah pimpinannya setelah kerajaan sebelumnya dijatuhkan. Begitu juga, tanpa menerima atau bersetuju dengan pelawaan Najib Razak dalam Pakatannya iaitu Barisan Nasional di bawah pimpinannya untuk mempertahankan kerajaan sedia ada yang telah memimpin negara berdekad lamanya daripada tentangan berbahaya yang dihadapinya.

Sebab-sebab pendirian kami:

1. Pakatan Harapan: Parti Tun Mahathir, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang merupakan parti serpihan UMNO (tulang belakang bagi parti kerajaan) adalah parti yang baru ditubuhkan, secara praktikalnya merupakan sebuah parti yang lemah. Turut bersama adalah parti Anwar Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat, PKR) yang merupakan sebuah parti sekular pragmatik yang dianggotai oleh ahli pelbagai kaum dan juga mempunyai pegangan ideologi yang berbeza seperti golongan Melayu Muslim sekular dan juga kelompok bukan Muslim daripada bangsa Cina dan India yang kebanyakan mereka beragama Kristian. Juga bersama adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mempunyai keanggotaan majoriti Cina yang kebanyakannya beragama Kristian, saki-baki daripada parti komunis yang telah diharamkan dan juga pemikir-pemikir liberal. Bersama mereka juga adalah Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berorientasikan Islam liberal-sekular, yang dibentuk oleh Anwar Ibrahim dan juga pimpinan DAP bagi menyaingi populariti PAS khususnya dalam kalangan orang-orang Islam serta bagi memecahkan kesatuan mereka, dengan menghimpunkan golongan pembangkang termasuk membawa masuk kelompok yang tergesa-gesa dan juga opportunis yang telah keluar daripada PAS. Di belakang blok ini adalah sokongan-sokongan daripada luar yang mendapat manfaat dengan keberadaan Anwar dalam blok ini.

Kemudian setelah Pakatan Harapan berjaya mengubah kerajaan dengan kemenangan mereka dalam pilihanraya, berlaku usaha dalaman untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri oleh DAP, PKR dan AMANAH bagi mengetepikan Tun Mahathir, dengan sokongan Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan juga Freemason. Pencalonan Mahathir hanyalah semata-mata untuk melawan Najib dengan menggunakan populariti beliau namun dalam masa yang sama juga, mereka menolak pegangan Tun Mahathir yang mereka kira sebagai terlalu tegas lebih-lebih lagi dalam usaha beliau untuk menolak pendekatan berbaik-baik dengan Barat serta pandangan beliau dalam isu Palestin, Kashmir, Myanmar dan Uighur. 

Pakatan Harapan akhirnya berjaya memenangi pilihanraya yang terakhir sebelum ini. PAS telahpun keluar daripada pakatan yang telah disertai daripada tahun 1999 sehingga 2012 disebabkan sikap mereka yang melanggar perjanjian yang berhubungkait dengan prinsip dan juga objektif PAS dalam berkhidmat untuk Islam dan kaum Muslimin.


2. Parti-parti kerajaan (Barisan Nasional) yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC pula berusaha untuk mempertahankan kerajaan pimpinan Najib Razak yang telah banyak membawa dan mewarisi kerosakan sejak era pemerintahan sebelum-sebelum ini seperti rasuah, kelemahan urus tadbir dan pelbagai lagi. PAS pernah berada bersama dalam blok parti-parti ini pada tahun 1973 sehingga 1979. Daripada pengalaman ini, PAS mengetahui akan keburukan-keburukan yang ada dalam Barisan Nasional.

Berdasarkan pengalaman-pengalaman PAS dalam pakatan dengan pelbagai parti, sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang, PAS telah mengambil keputusan untuk menubuhkan blok ketiga di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, yang turut disertai oleh parti-parti kecil dan disokong oleh NGO-NGO Islam dan nasional (menggunakan nama Gagasan Sejahtera) yang mempraktikkan politik dengan prinsip kerjasama ke arah kebaikan dan ketakwaan, bukan atas dasar keburukan dan juga permusuhan.

PAS telah pun menyertai Pilihan Raya Umum ke 14 pada tahun 2018 dan berjaya menawan 2 negeri (Kelantan dan Terengganu) dengan majoriti dua pertiga. Manakala majoriti kerusi di negeri-negeri lain pula dimenangi oleh beberapa parti lawan. Di peringkat parlimen pula PAS berjaya memenangi 18 kerusi parlimen yang menjadikan PAS sebagai sebahagian daripada anggota daripada blok pembangkang dalam parlimen dan dalam masa yang sama juga sebagai parti kerajaan dalam dua buah negeri. Maka tumbanglah kerajaan pusat dan hilanglah segala kekuasannya yang dipimpin oleh Najib Razak dan sekutunya dalam Barisan Nasional. Pakatan Harapan telah menang dan diberikan mandat untuk membentuk kerajaan dan Majlis Kabinet pimpinan Tun Mahathir. Jadi sekarang marilah kita menyentuh pula kepada perkembangan yang telah berlaku selepas peristiwa ini.

Pergelutan dalam Kerajaan Pusat


Pakatan Harapan, parti yang mencalonkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri melalui sokongan majoriti Non-Muslim di peringkat Kerajaan Persekutuan, dan melantik beliau sebagai Perdana Menteri berdasarkan perjanjian sementara yang hanya berlaku secara lisan semata-mata melalui kenyataan media, telah menentukan bahawa Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai Perdana Menteri selepas 2 tahun pemerintahan, tanpa persetujuan oleh Tun Mahathir, dimana beliau sendiri menganggap perjanjian tersebut tidak mengikat mana-mana pihak sama ada secara undang-undang mahupun Syarak.

Barisan Nasional (termasuk parti UMNO di dalamnya) berjaya menguasai dua negeri, dan merupakan barisan pembangkang yang memperolehi kerusi yang paling banyak dalam Dewan Rakyat. Beberapa parti dari Sabah dan Sarawak yang majoritinya adalah Muslim telah mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional dan membuat keputusan untuk tidak juga menyertai Kerajaan Pusat. Kemudian sebilangan parti daripada Sabah yang mempunyai beberapa kerusi Parlimen menyertai Kerajaan Pusat pimpinan Tun Mahathir. Begitu juga beberapa ahli Parlimen daripada UMNO bertindak untuk keluar daripada parti bagi memperkuat kedudukan Tun Mahathir dalam barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan. Setelah itu, beberapa ahli parlimen daripada PKR diketuai oleh Azmin Ali berpecah bagi memberi sokongan penuh kepada Tun Mahathir.


Akan tetapi, jumlah ahli-ahli Parlimen Muslim baik daripada pihak Kerajaan mahupun Pembangkang tidak mencapai majoriti di Parlimen (Dewan Rakyat) secara keseluruhannya. Para intelektual, birokrat, anggota tentera dan polis yang beragama Islam berasa bimbang selepas kemasukan Ahli-ahli Parlimen Non-Muslim dan Muslim Liberal ke dalam Kerajaan yang baharu yang mencuba untuk melemahkan kedudukan Islam, orang Islam dan kaum Bumiputera, dengan cubaan meminda Perlembagaan, mengubah sistem Pembelajaran dan Pengajaran, Media Massa dan sebagainya dalam politik dan ekonomi yang mana telah mengejutkan orang Islam dan mereka melihat bahayanya situasi mereka.

Maka, PAS telah mengambil langkah politik bekerjasama (Taawun) secara jalan damai. PAS telah memilih hubungan dengan Tun Mahathir memandangkan sikap nasionalisya dan semangatnya mempertahankan Islam. Dan PAS menolak kerjasama dengan kumpulan Anwar Ibrahim kerana tidak yakin dengan karakter peribadi dan akhlaknya serta pendirian politik pragmatiknya yang berbahaya. Dan bersama Anwar Ibrahim adalah AMANAH yang bersifat Islam liberal, dengan bersandarkan pada sokongan dan pendirian kedutaan-kedutaan Barat yang menyokongnya dari segi strategi, media dan kewangan. Kami turut menolak campur tangan asing baik secara total, meskipun pertemuan-pertemuan kami dengan delegasi-delegasi ini yang datang menemui kami untuk cuba membina hubungan dengan bermanis muka, khasnya delegasi Amerika yang mengajak PAS untuk menyertai Pakatan Harapan dan membantu Anwar Ibrahim menumbangkan Tun Mahathir.

Kami telah menemui Tun Mahathir sebaik selepas Pilihanraya Umum untuk memahami situasi yang bahaya pasca-pilihanraya, maka Perdana Menteri Tun Mahathir selepas berbincang dengan kami telah mengusahakan pembaikan kedudukan orang Islam dari dalam Kerajaan dengan bantuan kami, para pembangkang, Ahli-ahli Parlimen Islam dan Non-Muslim yang bersikap sederhana dan yang bekerjasama dengan kami untuk menghadapi perancangan mereka tersebut, yang antaranya adalah untuk meminda Perlembagaan dan sebagainya, yang kemudiannya membawa kepada pertembungan yang sengit, kerana golongan pelampau daripada parti-parti Kerajaan yang menentang dan bersama mereka adalah sokongan Barat melalui Anwar Ibrahim yang cuba menjatuhkan Tun Mahathir daripada tampuk kepimpinan Kerajaan.

Maka, pada tahun lalu, PAS telah menganjurkan Himpunan Penyatuan Ummah secara aman bagi membantah sebarang seruan kepada kesamarataan antara agama, tetapi PAS tidak menolak toleransi antara agama dan kebebasannya. Berdasarkan populariti PAS dalam kalangan rakyat, hampir 2 juta umat Islam telah menyertai himpunan tersebut.

Kemudian PAS mula bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk satu perpaduan atas kemaslahatan agama dan negara. Lalu kerjasama perpaduan ini menghasilkan sebuah persepakatan yang dinamakan sebagai Muafakat Nasional dalam blok pembangkang. Seterusnya, dari pihak kerajaan, Parti Bersatu telah bertanggungjawab untuk mengumpulkan pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan kerjasama persatuan-persatuan pelajar, para profesor, ahli-ahli akademik dan tokoh-tokoh pemikir, bagi menganjurkan Kongres Maruah Melayu sebagai platform untuk mengkaji kedudukan semasa masyarakat Melayu muslim. Pihak penganjur Kongres telah memberikan jemputan khas kepada Muafakat Nasional untuk menghadiri kongres tersebut. Tun Mahathir selaku Perdana Menteri pada ketika itu telah dijemput untuk menyampaikan ucapan perasmian bagi Kongres itu. 

Kemudian, Kongres telah mengeluarkan resolusi dimana antara lain menyebutkan kepentingan perpaduan sesama masyarakat Melayu Muslim untuk mendepani cabaran-cabaran semasa disamping meraikan hak-hak kenegaraan pelbagai kaum dalam sesebuah negara.


Setelah itu, PAS telah mengambil pendekatan secara aman dan mengelak sebarang bentuk demonstrasi. PAS telah pergi menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong (YDP Agong) yang mengetuai Majlis Raja-raja dimanan anggotanya terdiri dari sultan-sultan bagi setiap negeri berdasarkan kedudukan masing-masing dari sudut perlembagaan, bagi menjelaskan situasi-situasi yang berbahaya serta keperluan negara untuk menukar kerajaan melalui saluran demokrasi menerusi parlimen. PAS juga telah berjaya mengumpulkan ahli-ahli parlimen yang beragama Islam dari Sabah dan Sarawak serta kaum Bumiputra Non-Muslim bagi mengumpulkan tandatangan (Surat Akuan Berkanun) dalam kalangan ahli-ahli parlimen dengan memperolehi majoriti seramai 133 orang daripada jumlah keseluruhan 222 orang ahli parlimen.


Apabila kami telah menerima majoriti, kami telah meletakkan kepercayaan kepada Tun Mahathir untuk mengetuai kerajaan baru selepas melaksanakan cadangan untuk melepaskan jawatannya daripada kerajaan dan keluar dari Majlis Kabinet kerajaan untuk membentuk kerajaan baru. Maka, YDP Agong telah meminta ikrar secara lisan secara langsung di hadapan beliau seorang demi seorang dari setiap ahli parlimen. Kemudian berlaku Gerakan balas daripada Pakatan Harapan dengan menyokong Tun Mahathir hanya untuk menunjuk-nunjuk sebagai satu bentuk tipu daya daripada kumpulan Anwar Ibrahim, AMANAH, dan DAP. Mereka telah pergi bertemu Mahathir pada waktu pagi sambil menangis seperti menangisnya adik beradik Yusuf AS setelah mereka menghumban Yusuf AS ke dalam telaga, untuk menyerahkan kepada Mahathir cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan. Sesungguhnya strategi licik ini adalah untuk memecahkan penyatuan kaum Muslimin dengan perkataan yang benar namun yang dikehendaki daripadanya adalah kebatilan!


Kemudian, PAS telah diajak untuk menyertai kerajaan di bawah kepimpinan Mahathir dan kami telah dicalonkan untuk diletakkan di kerusi Timbalan Perdana Menteri dan diletakkan juga untuk menjadi Menteri di beberapa kementerian. Perkara ini semua berlalu secara rahsia. Gerakan yang digerakkan atas rasuah, rebut-merebut dan ancaman demi ancaman berlaku ke atas semua ahli parlimen bagi mendapatkan sokongan. Rupanya, Tun Mahathir telah terperdaya dengan tipu daya yang sangat licik itu. Kemudian, beliau telah pergi bertemu YDP Agong sambil membawa tandatangan kesemua ahli parlimen secara keseluruhannya. Akan tetapi, sebahagian ahli parlimen telah menarik balik sokongan kepada Tun Mahathir kepada sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Maka telah bangkit sejumlah ahli Parlimen beragama Islam menentang tipu daya licik ini secara rahsia dengan mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan orang nombor dua kepada Tun Mahathir dalam partinya untuk menjadi Perdana Menteri dengan memberikan sekali lagi kepada YDP Agong senarai nama ahli parlimen yang menyokong pencalonan ini beserta tandatangan mereka. Selepas YDP Agong bertemu dengan semua Pemimpin setiap parti untuk mendapatkan sokongan terbanyak, telah jelas kepada YDP Agong setelah melakukan dan melaksanakan setiap proses melalui demokrasi dan mengikut perlembagaan. Maka telah gagal gerakan balas tersebut meskipun dengan campurtangan daripada duta-duta Barat dan para penasihat Freemason dan Zionis.


Maka terbentuklah kabinet kerajaan yang baru, diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan nama Perikatan Nasional, yang majoritinya Muslim. Pakatan ini terdiri daripada beberapa parti komponen iaitu UMNO, PAS, BERSATU, GPS, sebahagian pemimpin PKR, MCA, MIC serta parti komponen daripada Sabah dan Sarawak.
Kemudian, Majlis Kabinet dibentuk tanpa melibatkan individu yang masih didalam perbicaraan mahkamah. Perkara ini dilakukan demi meraih kepercayaan rakyat. Ini lah yang dimaksudkan Islah yang aman tanpa sebarang demonstrasi, dengan sokongan rakyat, para pegawai kerajaan, tentera, polis, dan Majlis Raja-raja.

Segala pujian bagi Allah Tuhan sekalian Alam.

Yang menyayangi kalian,
Abdul Hadi Awang
Presiden, Parti Islam Se-Malaysia
27 Rejab 1441/22 Mac 2020




No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers