Di mana kedudukan, pengaruh Pas dalam Kabinet Muhyiddin?

Di mana kedudukan, pengaruh Pas dalam Kabinet Muhyiddin?



Saya terdengar ucapan seorang pemimpin Pas melalui rakaman video yang menyanjung tinggi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menyelamatkan negara di waktu sukar ini. Ia seperti mahu menjawab dakwaan meluas yang mempertikai kewibawaan Presiden Bersatu itu mengemudi bahtera tanahair memandangkan kerajaan pimpinannya dibentuk melalui pembelotan yang memalukan.
Selain memuji “Ayahanda Muhyiddin” kerana melancarkan pakej rangsangan ekonomi RM250 bilion (sedangkan nilai sebenar hanyalah RM22 bilion, dan hakikat ini diakui sendiri Menteri Kewangan), pemimpin Pas tersebut turut menyalahkan kerajaan terdahulu, Pakatan Harapan, yang didakwa menyebabkan Covid-19 menular dahsyat. Dimainkan isu bahawa kerajaan PH pada awal wabak menular tidak menyekat sepenuhnya pelancong dari China. Menteri Dalam Negeri ketika itu ialah Muhyiddin.
Bukan hal pelik dan aneh apabila para pemimpin Pas memuja “kerajaan pintu belakang” atau “kerajaan melalui tebuk atap” seperti ungkapan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Penubuhan kerajaan baharu ini hasil kerjasama erat dan komplot jahat yang turut disertai Pas. Dan terbukti sanjungannya selama ini terhadap kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sarat dengan muslihat politik dan kepentingan Pas semata-mata.
Reputasi Pas terjejas teruk dengan sikap politiknya selama ini. Bermula dengan pendekatan lunak dan mesra terhadap kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak sekitar 2015 sehingga berlangsungnya PRU14. Rekod buruk Najib termasuk berkaitan skandal mega 1MDB dan kompilasi salahguna kuasa serta korupsi langsung tidak menjejaskan pendirian siyasah Pas itu. Malah Pas bertegas menolak pelawaan untuk bersama gabungan pembangkang waktu itu dan memilih taktik pertandingan tiga penjuru, bagi memberi kelebihan kepada Najib-BN. Buat pertama kali dalam sejarah Pas bertanding lebihkurang 160 kerusi Parlimen; bayangkan berapa besarnya peruntukan kewangan Pas.
Strategi makan diri itu tidak terhenti setakat kekalahan PRU14. Pas menjalin taawun dengan Umno dengan impian besar mampu menang dalam PRU15 berdasarkan kombinasi undi kedua-dua parti berkenaan. Keghairahan mereka tambah memuncak apabila dalam siri pilihan raya kecil, antaranya di Cameron Highland, Semenyih dan Tanjung Piai, sokongan terhadap PH merosot.
Perbalahan dalaman yang serius dalam PKR, polemik peralihan kuasa perdana menteri dan sentimen anti-DAP termasuk di kalangan pemimpin Bersatu, membuka peluang untuk kerajaan PH dijatuhkan secara khianat. Sesungguhnya Pas sendiri mempunyai rentetan pengalaman hitam berikutan konspirasi jahat Umno menumbangkan tiga kerajaan negeri pimpinannya, iaitu Terengganu 1961, Kelantan 1978 dan Peral 2009.
Ternyata Pas hilang idealisme dan pegangan sebagai parti Islam. Ia terbukti rakuskan kuasa dan sanggup mengetepikan prinsip dan akhlak. Mungkin Azmin Ali, bekas Timbalan Presiden PKR merupakan penggerak utama, Muhyiddin menyempurnakannya, manakala Pas berbekalkan 18 ahli Parlimen menjadi khadam yang dilihat tidak banyak karenah.
Ketika negara mula diamuk virus maut ini, Pas sanggup bersekongkol dengan Langkah Sheraton, yang mencetuskan krisis politik. Taat setianya yang dilafazkan kepada Mahathir hilang begitu sahaja. Mungkin cita- citanya untuk mendirikan kerajaan Melayu-Islam tanpa DAP hadir lebih awal, tanpa perlu bersusah- payah; dan kesempatan itu terus direbutnya tanpa lengah.
Tumpuan lebih difokuskan kepada peranan Pas dalam gerakan pengkhianatan ini memandangkan ia sering mendakwa langkah politiknya bertepatan dengan akhlak Islam. Sedangkan dalam praktisnya Pas kerap terjebak dengan amalan ekstremisme, takfiri, fanatisme, menyebar kebencian, dan mengutamakan motif politik sehingga mengetepikan ukhuwwah.
Selama ini pemimpin Pas dan pendukungnya secara agresif menyasarkan serangan terhadap kerajaan Pakatan Harapan. Mereka berusaha untuk membentuk persepsi kerajaan reformasi itu dikongkong oleh DAP dan sanggup mengetepikan kepentingan Melayu-Islam demi survival kuasa. Segalanya mahu dipolitikkan termasum isu kematian Adib, subjek Jawi, pengurusan Tabung Haji, bantuan zakat, insiden kemalangan membabitkan pemabuk, layanan terhadap LGBT, pembangunan Kampong Baharu, Peguam Negara bukan Islam, kewujudan sekolah vernakular dan banyak lagi senarai panjang isu yang dimanipulasi.
Kini masyarakat termasuk pendukung Pas mahu melihat segala kritikan pedas itu, tidak terkecuali hamburan fitnah melulu, diterjemahkan dalam bentuk komitmen positif dan gerakerja produktif membawa perubahan serta pembaharuan. Sebagai parti Islam tertua, dengan keahlian melebar yang berakar umbi di segenap pelosok, tentu Pas mempunyai kelebihan tersendiri untuk membawa Malaysia ke mercu kejayaan yang membawa manfaat buat rakyat seluruhnya.
Tanpa kerjasama Pas, perancangan untuk merebut kuasa yang disusun sejak lama itu, sukar menjadi kenyataan. Justeru, perhatian utama tertumpu kepada jumlah menteri dan potfolio yang diserahkan kepada Pas. Daripada 33 menteri dalam Kabinet Muhyiddin bersaiz besar itu, Pas hanya diperuntukkan tiga posisi, iaitu berkaitan alam sekitar, undang-undang dan perladangan. Bersatu paling dominan dan dituruti Umno menguasai jemaah menteri. Lebih ketara, daripada empat menreri kanan, tiada wakil Pas untuk kedudukan strategik itu. Hatta potfolio agama pun tidak dipertanggungjawabkan kepada parti Islam. Sebagai rujukan, di bawah Kabinet Mahathir, Parti Amanah Negara yang mempunyai 11 ahli Parlimen diperuntukkan lima menteri, termasuk seorang menteri kanan, pertahanan. Empat lagi potfolio adalah pertanian, kesihatan, hal ehwal agama dan wilayah persekutuan.
Sepatutnya penampilan Pas dalam jemaah menteri mampu menyuntik keyakinan akan berlaku perubahan Islami yang ditunggu-tunggu. Benar, situasi pandemik Covid-19 menuntut segala prioriti dialihkan bagi menanganinya, namun kita juga kebingungan dengan halatuju dan aspirasi negara. Kita masih buntu dengan struktur gabungam parti Perikatan Nasional. Tiada organisasi yang jelas seperti Pakatan Harapan dahulu. Umno sendiri seakan-akan meremehkan pembentukan “kerajaan pintu belakang” ini selain mempersoalkan mengapa kementerian strategik dan dekat dengan rakyat dibolot oleh Bersatu.
Majlis Tertinggi dan Biro Politik Umno, melalui kenyataan naib presidennya, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, selepas satu mesyuarat menganggap kerajaan yang ada hari ini adalah perikatan antara ahli parlimen bukan kerjasama antara parti. Dua tokoh utama Umno, presiden dan timbalannya, tiada kedudukan dalam Kabinet. Hanya seorang daripada tiga naib presidennya dilantik menteri kanan.
Tidak pasti pula pendirian rasmi Pas tentang kerajaan Perikatan Nasional ini. Apakah sikap Pas sama seperti sekutu rapatnya dalam Muafakat Nasional, Umno? Ataupun Pas sendiri lebih cenderung dan serasi dengan Muafakat Nasional, berbanding Perikatan Nasional yang masih kabur itu? Kenyataan penceramah tertentu dalam Pas turut mendedahkan rasa tidak senang dengan komposisi Kabinet Muhyiddin, daripada segi bilangan menteri dan potfolio kementerian. Paling ketara apabila menteri hal ehwal agama pun tidak diserahkan kepada Pas.
Pembelaan dan usaha Pas mempertahankan kredibiliti Muhyiddin boleh difahami, namun ia tidak disokong fakta dan realiti. Muhyiddin dianggap penyelamat negara daripada krisis politik? Sedangkan beliau merupakan pencetus konflik dengan mengeluarkan Bersatu daripada Pakatan Harapan. Hasrat awalnya untuk membawa bersama Dr Mahathir meninggalkan parti-parti sekutu yang bersama menumbangkan BN, Mei 2018. Namun niat itu tidak kesampaian apabila Dr Mahathir tetap memegang janji dan kesepakatan PH, serta menolak pembentukan kerajaan bersama gerombolan kleptokrat. Muhyiddin sanggup mengkhianati Dr Mahathir, pengerusi partinya sendiri, asalkan dapat menjadi perdana menteri.
Pas boleh sahaja menumpahkan sokongan terhadap Muhyiddin, tetapi biarlah dengan alasan yang kukuh. Pentadbiran Muhyiddin wajar didukung terutama ketika Malaysia dan seluruh planet bumi ini berdepan masalah besar keselamatan dan impak ekonomi. Namun usah berlebih-lebihan meraih laba politik dan memesongkan fakta. Rakyat lebih prihatin dengan kehidupan seharian mereka, apakah esok masih ada makanan dan pekerjaan, namun berpada-padalah menutup pengkhianatan besar ini.
Kini terbentang dua gelanggang besar untuk Pas berbakti, di peringkat negeri Kelantan dan Terengganu, serta sebagai komponen kerajaan persekutuan di Putrajaya. Rakyat belum lupa segala hamburan nista dan kritikan Pas terhadap kerajaan PH; curahkan khidmat terbaik untuk menyelamat dan memulihkan negara. Kita ditakdirkan menempuh bencana yang tidak diduga ini, gemblengkan setiap sumber, tenaga dan pemikiran agar dapat melepasi ujian dahsyat dengan baik.

No comments: