Friday, April 3, 2020

Jangan berhimpun selama enam bulan hingga setahun - Dr Noor Hisham


Jangan berhimpun selama enam bulan hingga setahun - Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham Abdullah tidak menggalakkan perhimpunan membabitkan ramai orang.
PUTRAJAYA: Meskipun belum ada keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sekali lagi atau sebaliknya, Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru masyarakat supaya tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata amalan yang diterapkan ketika ini bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 perlu diteruskan dalam kehidupan masyarakat untuk satu jangka masa yang agak panjang.


"Walaupun belum tahu sama ada PKP ada akan tamat atau tidak, tetapi amalan kita sudah kita ubah... bukan norma biasa lagi (seperti dahulu). Sebagai contoh, kita mengamalkan penjarakan selamat termasuk tidak bersalam selain kerap basuh tangan.

"(Selain itu) perhimpunan pula... dalam tempoh enam bulan hingga setahun kita tidak mengalakkan langsung perhimpunan membabitkan orang yang ramai," katanya pada Jumaat.
Mengenai bazar Ramadan pula, jelas Dr Noor Hisham, selain mematuhi garis panduan KKM, idea kreatif dan inovatif perlu diterapkan jika penganjurannya dibenarkan tahun ini, bagi mengelakkan perhimpunan orang ramai sekali gus meningkatkan risiko jangkitan.

"Mungkin kita perlu ada idea kreatif dan inovasi... Dalam tempoh fasa pertama PKP, kita telah lihat peningkatan 70 peratus penghantaran (produk makanan) ke rumah. Mungin kita boleh buat sesuatu seperti 'e-bazar Ramadan', jadi makanan boleh dihantar ke rumah," kata Noor Hisham.

PKP Fasa II akan berakhir pada 14 April depan iaitu 10 hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Kerajaan sebelum ini menyatakan bahawa keputusan sama ada tempoh PKP dilanjutkan atau tidak akan diputuskan berdasarkan situasi semasa COVID-19 selepas minggu pertama April.

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers