DUA WAJAH "MEWA" TUAN IBRAHIM



Ketika kerajaan PH melantik Tan Kok Wai sebagai Duta Khas ke China pada 2018, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mengkritik lantikan itu dengan mengatakan ia sebagai mengulangi langkah BN sebelum ini, selain menyifatkannya suatu pembaziran.
Katanya, perlantikan itu menyebabkan rakyat rasa dipermainkan di sebalik gambaran kerajaan ketiadaan wang untuk melaksanakan janji-janji PRU14.
“Jangan ulangi kesilapan BN yang suka memutarbelitkan fakta dan menipu rakyat,” tambah beliau.
Tetapi, itu dulu. Lain hulu, lain parang.
Sekarang, setelah berada dalam kerajaan dan Presiden Pas, Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri, bukan main lagi sanjungan dan pujiannya atas keputusan Muhyiddn Yassin itu.
Walhal, berbeza dengan Hadi Awang yang bertaraf menteri, Tan Kok Wai sebaliknya tidak pun diberikan taraf menteri.
Dalam pujian dan sanjungannya terhadap jawatan yang diberikan kepada Hadi Awang, Tuan Ibrahim berkata, perlantikan itu penting untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dan meneruskan agenda kesatuan ummah di peringkat antarabangsa.
Tegas beliau lagi, Hadi Awang telah memainkan banyak peranan dalam menyuarakan pandangan politik dalam kalangan negara-negara Islam.
Hmmm…langsung Tuan Ibrahim tak mengaitkan atau tidak melihat lagi perlantikan Hadi Awang itu sebagai meniru BN atau menyifatkannya sebagai pembaziran wang negara.
Apakah Tuan Ibrahim tidak sedar negara lebih perlu berjimat sekarang ini dalam keadaan negara dan dunia dicengkam wabak Covid-19 berbanding pada 2018 dahulu?
Adakah sejak dilantik jadi menteri dalam kerajaan tebuk atap ini, Tuan Ibrahim sudah kebingungan tentang jati diri dan pendiriannya sendiri?
Agaknya, sebab itulah apabila nama Kementerian Alam Sekitar yang diterajuinya dijenamakan semula dengan nama Kementerian Alam Sekitar dan Air, beliau terus saja bangga mengumumkan nama singkatannya ialah MEWA iaitu ambilan daripada Bahasa Inggeris – Ministry of Enviroment and Water.
Sebagai Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan, apakah beliau tidak sedar “mewa” itu bermaksud “bingung atau bodoh” dalam dialek Kelantan?
Lagi pula, kalau pun tidak sedar maksud perkataan itu dalam dialek Kelantan, sejak bila Tuan Ibrahim sebagai pemimpin nombor dua Pas sudah beralih kiblat daripada mendaulatkan Bahasa Kebangsaan kepada mengagungkan Bahasa Inggeris? 
(ShahbudinHusin 03/04/2020)

No comments: