Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan pakej rangsangan baru bagi merancakkan ekonomi negara yang sedang merudum sekarang pada Jumaat ini.
“Insya-Allah, pada hari Jumaat nanti saya akan umumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh,” katanya dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen, hari ini.
“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat.
“Insya-Allah, no one will be left behind (tidak ada sesiapa yang akan ditinggalkan),” kata Muhyiddin.
Menurut perdana menteri, beliau menyedari bahawa dalam keadaan sekarang, ramai pihak yang memerlukan sokongan dan bantuan.
Malah, katanya, semalam kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi situasi yang sukar ini.
“Hari ini, satu lagi inisiatif iaitu penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat telah saya umumkan,” katanya.