Badan pemikir anggar 2.4 juta hilang kerja jika lanjut perintah kawalan



MIER berkata, KDNK sebenar mungkin susut 6.9% berbanding garis dasar 2020.
PETALING JAYA: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan kira-kira 2.4 juta rakyat akan hilang pekerjaan akibat krisis Covid-19, jika perintah kawalan pergerakan dilanjutkan 2 minggu lagi.
Dalam laporan mengenai impak ekonomi akibat penularan Covid-19, badan pemikir itu berkata, sebahagian besar daripada 2.4 juta pekerja itu dibayar mengikut jam, dengan 67% terdiri daripada pekerja tidak berkemahiran.
Ia turut meramalkan pendapatan isi rumah akan jatuh 12% daripada garis dasar yang berjumlah RM95 bilion akibat penurunan dalam perbelanjaan pengguna sebanyak 11%.
“Keluaran dalam negara kasar sebenar Malaysia mungkin susut kira-kira 6.9% berbanding garis dasar 2020. Ini diterjemah kepada kadar KDNK sebenar -2.9% bagi 2020 berbanding 2019.”
MIER menggesa Putrajaya memperuntukkan belanjawan krisis bagi menangani kerugian RM95 bilion kerana ia diperlukan untuk mengelakkan syarikat muflis, kehilangan pekerjaan dan penurunan dalam pendapatan isi rumah.
Ia mencadangkan kerajaan mengkaji semula matlamat sosio ekonomi negara kerana sekarang ialah masanya untuk merangka dasar memacu ekonomi ke arah “ketahanan dan kemakmuran tulen”.
Ia turut menggesa kerajaan mewujudkan stok perubatan dan makanan negara yang dibiayai Putrajaya atau melalui program perkongsian awam-swasta.
“Akhir sekali, kerajaan perlu mengkaji semula dasar fiskal termasuk Belanjawan 2020 yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu untuk menangani perkembangan baru ini.”
MIER mencadangkan Putrajaya mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan dengan menyelaras kadar serta mekanisme dalam Belanjawan 2021 untuk menampung sebarang kerugian daripada hasil minyak yang dijangkakan rendah dalam penilaian terdahulu.
MIER berkata, pematuhan penuh perintah kawalan pergerakan ialah kunci untuk mengelakkan impak ekonomi selanjutnya.
“Sebarang lanjutan kepada perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu mungkin menambah penguncupan KDNK sebenar antara -3% dan -4% berbanding garis dasar 2020.”










No comments: