POJOK |
Ketika rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, menunjukkan solidariti dalam melawan penularan Covid-19, terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab dilihat giat menyebarkan berita-berita palsu.
Berita-berita palsu ini disebarkan dengan niat untuk mengeliru, memanipulasi, dan mengapi-apikan perasaan rakyat. Dengan ini, timbullah persepsi-persepsi palsu terhadap seseorang individu atau organisasinya.
Modalnya murah dan kerjanya mudah. Cukup dengan menyebarkan imej grafik pemimpin tertentu di media sosial sambil disertakan kata-kata kontroversi yang kononnya keluar dari mulut pemimpin tersebut –impaknya adalah amat besar.
Walhal cerita sebenarnya tidak sebegitu. Kata-kata itu sebaliknya telah diseleweng. Meskipun pemimpin yang menjadi mangsa itu telah membuat penafian di media sosialnya, namun persepsi negatif itu tetap kekal, bersarang dan terpateri kukuh di minda si pembaca.
Malangnya, taktik seumpama ini diulang-ulang sehingga mencipta ‘rasa kebenaran’ dalam kalangan pembacanya. Berita-berita palsu itu lama kelamaan berubah menjadi ‘kebenaran’ secara organik dalam minda sesetengah pembaca tegar mereka.
Prinsip penipuan secara berterusan yang akhirnya dianggap sebagai satu kebenaran ini dilihat sama dengan prinsip yang digunakan pemimpin propaganda Nazi, Joseph Goebbels.
Goebbels dianggap sebagai pelopor dan pengembang teknik propaganda moden. ‘Argentum ad nausem’ atau Big Lie adalah teknik ciptaannya. Ia adalah teknik menyebarluaskan berita bohong melalui media sekerap mungkin sehinggalah kebohongan itu dianggap sebagai satu ‘kebenaran’.
Sehubungan itu, adalah penting bagi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mencari mekanisme terbaik memantau serta menoktahkan berita palsu seumpama ini daripada terus tersebar.
Sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita juga perlu menjadi ‘penjaga pagar’ atau gatekeeper kepada penyebaran berita-berita palsu ini. Gunakan segala sumber maklumat sedia ada untuk mengesahkan berita-berita ini sebelum menyebarkannya.
Soalan-soalan yang perlu ditanya sebelum sesebuah berita itu dikongsi adalah:
- Siapa penulis maklumat itu?
- Adakah dia mempunyai kepakaran dalam topik itu?
- Dari mana sumber maklumat itu diperoleh?
- Bilakah tarikh maklumat itu diperoleh?
- Apakah jenis lama sesewang/penerbit yang menerbitkan maklumat itu? Adakah berbentuk sinikal, serius atau palsu?
- Apakah objektif lama sesewang/penerbit itu? Adakah mereka mempunyai kepentingan tertentu?
Ingat, kita adalah apa yang kita baca. Jadi, jangan biarkan diri terjerat dengan maklumat-maklumat palsu.
Langgak – Jarang terjerat .