Kebanyakan kematian Covid-19 akibat lewat terima rawatan, kata KP kesihatan



Dr Noor Hisham Abdullah berkata berkata, selain lewat menerima rawatan, umur dan komorbiditi (2 atau lebih penyakit yang dihadapi secara serentak) juga antara faktor menyumbang kepada kematian pesakit Covid-19.
PUTRAJAYA: Kebanyakan kematian berkaitan Covid-19 di negara ini berikutan lewat menerima rawatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, terdapat 5 peringkat jangkitan Covid-19, tetapi kebanyakan pesakit datang ke hospital ketika mereka sudah berada di peringkat ke-3.
“Peringkat pertama ialah apabila seseorang itu asimptomatik (tidak menunjukkan gejala) tetapi positif, manakala peringkat ke-2 adalah positif dengan gejala ringan dan peringkat ke-3 apabila pesakit mempunyai masalah pneumonia, tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen.
“Peringkat ke-4 pesakit memerlukan terapi oksigen dan peringkat terakhir (peringkat ke-5) apabila pesakit tidak boleh bernafas dengan baik dan kita perlu intubat (memasukkan tiub) dan menggunakan ventilator,” katanya dalam taklimat media semalam.
Hisham berkata, kesihatan kebanyakan pesakit peringkat ke-4 cepat merosot dan akan mudah memasuki peringkat ke-5.
Beliau memberi contoh kematian terbaru di mana pesakit mengalami kesukaran bernafas 4 hari lalu.
Hisham berkata, selain lewat menerima rawatan, umur dan komorbiditi (2 atau lebih penyakit yang dihadapi secara serentak) juga antara faktor menyumbang kepada kematian berkaitan Covid-19.
“Beberapa kes kematian mempunyai komorbiditi dan kebanyakan mereka berusia lebih 70 tahun.”
Sementara itu, Hisham berkata, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan aktiviti pengesanan kes.
“Bermakna kami akan mencari kes, kami akan menguji kes itu dan jika ia disahkan, kami akan asingkan kes dan memberi rawatan.
“Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk melihat kumpulan fokus. Contohnya, sekarang kita tahu 60% yang dijangkiti adalah kumpulan tabligh, kami akan pergi mencari mereka dan menguji mereka,” katanya sambil menambah ia bagi memastikan individu dalam kumpulan itu tidak menjangkiti orang lain.