Tiada kenaikan tarif elektrik hingga 30 Jun tahun depan


Kabinet pada 29 November lalu memutuskan bahawa pengguna domestik di Semenanjung tidak akan berdepan dengan kenaikan tarif elektrik dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, kadar tarif elektrik dikekalkan pada kadar asas iaitu 39.45 sen kilowatt sejam (kWj).

“Sebanyak RM62.95 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan digunakan untuk menampung surcaj ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) supaya tidak ada surcaj akan dikenakan kepada pengguna domestik.

“Oleh itu, kadar efektif tarif elektrik akan dikekalkan, tidak akan meningkat pada kadar efektif asas iaitu 39.45 sen per kilowatt jam (kWj), ini adalah 18 bulan berterusan tiada peningkatan melalui surcaj dikenakan kepada pengguna elektrik domestik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan Menteri mengenai status pelaksanaan mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dalam penentuan tarif elektrik di Semenanjung setiap enam bulan dan adakah tarif elektrik meningkat Januari depan.


No comments: