Sehari sebelum berlangsungnya kongres AMK dan Wanita PKR esok, satu berita gembira muncul hari ini iaitu berlakunya perdamaian antara Anwar Ibrahim dengan Azmin Ali.
Buat pertama kalinya sejak lebih setahun lalu, Azmin petang tadi hadir mesyuarat Biro Politik PKR yang dipengerusikan Anwar di mana sebelum itu mereka berdua telah mengadakan perbincangan ke arah mengukuhkan parti di Bangunan Parlimen.
Dengan perdamaian itu, Azmin bersama penyokongnya setuju hanya ada satu kongres PKR iaitu di Melaka dan membatalkan ura-ura mengadakan kongres berasingan di ibu kota.
Dengan langkah itu, tradisi parti turut dikembalikan di mana Azmin selaku Timbalan Presiden akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR secara serentak, manakala Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan melakukan perasmian penutupnya.
Dalam erti kata lain, perdamaian ini adalah keputusan menang-menang bagi Anwar dan Azmin serta menjadikan semua orang menjadi ceria serta gembira menghadiri kongres di Melaka nanti.
Perkembangan terbaru ini tentu saja suatu berita baik buat semua ahli PKR kerana sejak lebih setahun lalu, isu pergeseran antara kedua-dua pemimpin tersebut sentiasa menghantui mereka.
Pergeseran itu bukan saja menjadikan PKR, parti terbesar dan mempunyai jumlah Ahli Parlimen teramai dalam PH, nampak berpecah, malah menjadikannya kelihatan kian lemah.
Keadaan itu sekaligus boleh dijadikan alasan untuk melewat-lewatkan pelan peralihan kuasa yang sudah dipersetujui daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar.
Dalam keadaan pergeseran itu, Azmin bukan saja lantang menolak peralihan kuasa kepada Anwar, malah kadangkala seperti beliau sedang dipergunakan oleh pihak lain yang berkepentingan untuk menggagalkannya.
Kini, dengan berdamainya Azmin dengan Anwar, selain kembali menjadikan PKR parti yang unggul dalam PH, malah tentu saja membuatkan isu peralihan kuasa tidak lagi bermasalah.
Dengan kembalinya Azmin bergandingan rapat dengan Anwar memperkukuhkan PKR, bermakna beliau bukan saja menerima kembali kepimpinan Anwar dalam parti, ia tentu juga diikuti dengan keakuran terhadap kedudukan Presiden PKR itu sebagai bakal PM8 tanpa berbelah-bagi.
Yesss…laluan Anwar menuju PM8 tidak lagi berdepan sebarang halangan atau cubaan untuk menggagalkannya.
Dalam waktu terdekat ini, logiknya, sebagaimana yang sudah dipersetujui oleh Tun Mahathir sendiri, perbincangan dan penetapan tarikh peralihan kuasa itu sudah pun boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PH. (ShahbudinHusin 04/12/2019)