KENYATAAN MEDIA ISU TUNTUTAN PERMOHONAN MAAF DARIPADA PRESIDEN PARTI



KENYATAAN MEDIA

ISU TUNTUTAN PERMOHONAN MAAF DARIPADA PRESIDEN PARTI

KEADILAN memandang serius kenyataan segelintir pemimpin KEADILAN yang mendesak agar Datuk Seri Anwar bin Ibrahim memohon maaf di atas keputusan pemecatan dua anggota parti. Sementara KEADILAN mengamalkan prinsip keterbukaan dan demokrasi namun sebagai parti politik yang matang, KEADILAN ingin menegaskan bahawa segala isu mengenai KEADILAN mestilah melalui saluran yang betul iaitu melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.

KEADILAN juga terkejut dengan kenyataan saudara Tian Chua, Naib Presiden KEADILAN dan Sivarasa Rasiah yang telah menafikan terdapatnya desakan permohonan maaf daripada Presiden KEADILAN di dalam deraf kenyataan asal yang ditandatangani. Dengan kenyataan mereka itu secara tuntas menunjukkan terdapatnya penipuan oleh segelintir pemimpin tertentu yang telah memanipulasi deraf kenyataan asal yang bertujuan untuk memalukan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa yang nyata, adalah merupakan satu kesalahan yang serius kerana ada kalangan yang menipu dan mengelirukan beberapa pimpinan termasuk Tian serta Sivarasa di mana persoalan yang timbul ialah bagaimana nama mereka telah dimasukkan di dalam kenyataan yang telah ditandatangani oleh Timbalan Presiden. Natijahnya persepsi yang salah dengan sengaja telah diwujudkan.

KEADILAN memberi amaran tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan perpaduan parti dan tentunya akan mengambil tindakan tegas terhadap anasir-anasir perosak ini. KEADILAN menyeru agar semua anggota menghayati semangat penubuhan parti dan menolak politik keji ini. Marilah kita mengukuhkan muafakat demi ra’yat dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Kongres KEADILAN Nasional yang akan dilangsungkan di Melaka daripada 6 hingga 7 Disember 2019 nanti.

YB DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat
3 Disember 2019


No comments: