KUALA LUMPUR 23 JAN: Kerajaan Pulau Pinang tidak akan sesekali mengikuti jejak langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memotong biasiswa pendidikan kerana ia memusnahkan aspirasi dan masa depan anak muda.
Berbeza dengan kerajaan Persekutuan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata kerajaan negeri pimpinan DAP itu tidak akan memotong biasiswa sebalilknya meneruskannya demi membantu rakyat dan pelajar pintar.
“Baru tahun lepas, kerajaan Pulau Pinang memulakan program biasiswa Yayasan Masa Depan Pulau Pinang (PFF) bagi membantu masyarakat Pulau Pinang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan.
“Pelajar tidak patut sama sekali menjadi mangsa krisis ekonomi akibat pengurusan bermasalah kerajaan kerana mereka merupakan benteng pertama menjamin masa depan negara,” kata Setiausaha Agung DAP itu.
Beliau berkata demikian pada kenyataan media mengulas laporan cadangan kerajaan Persekutuan menggantung biasiswa Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) untuk program ijazah pertama dan bursari Kementerian Pendidikan untuk program pra-universiti.
Sebaliknya, kata Guan Eng, Kerajaan UMNO BN perlu menghenti segala ketirisan termasuk urus tadbir lemah dan bukannya mengorbankan biasiswa JPA untuk mengatasi masalah kekurangan pendapatan negara.
“DAP terkejut apabila masa depan mahasiswa menjadi sasaran dalam pemotongan bajet, padahal masalah ketirisan seperti rasuah, pembaziran dan ketidakcekapan patut diutamakan.
“Langkah itu memberi kesan kepada hampir 700 penempatan pelajar setahun dan menjejaskan peluang mereka melanjutkan pelajaran, terutama yang dari keluarga miskin dan kurang bernasib baik,” katanya.
Katanya, Kerajaan BN patut membaiki kualiti urus tadbir termasuk menghukum pemimpin dan pegawai rasuah, selain menghenti kehilangan peruntukan akibat kebocoran dan menunda projek mega yang hanya menguntungkan sesetengah pihak dan bukan rakyat.
“BN perlu membendung pembaziran dan perbelanjaan mencurigakan seperti ditekankan dalam Laporan Audit Negara setiap tahun termasuk perbelanjaan keterlaluan untuk jet peribadi dan tempahan hotel mahal di London serta menghenti rundingan berkos tinggi dengan konsultan asing,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan Persekutuan mengorbankan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang terpalit skandal RM42 bilion atau menggunakan wang derma RM2.6 bilion untuk menyelamatkan biasiswa JPA.