‘Bertam Nite’ tiada kaitan dengan KEADILAN – Ketua Cabang Kepala Batas

‘Bertam Nite’ tiada kaitan dengan KEADILAN – Ketua Cabang Kepala Batas

KEPALA BATAS 6 Jun: Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas, Abdul Latif Abdullah memberitahu, jawatankuasa program ‘Bertam Nite 2012′ terdiri daripada mereka yang dibawa dari luar Cabang Kepala Batas dan tiada kaitan langsung dengan cabang tersebut khasnya dan KEADILAN amnya.

“Saya tegaskan bahawa tidak wujud KEADILAN Bertam di dalam struktur parti, yang ada adalah pimpinan pusat, pimpinan negeri, pimpinan cabang dan pimpinan ranting,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan demikian berhubung program ‘Bertam Nite 2012′ yang berlangsung di Kompleks Sukan MPSP Bertam, dekat sini Ahad lalu yang menjadi kontroversi dengan adanya persembahan tarian menyerupai K-Pop.

Sehubungan itu, Abdul Latif berharap orang ramai tidak lagi terkeliru dan dikelirukan oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri di Parlimen Kepala Batas.
Beliau bagi pihak Cabang Kepala Batas memohon maaf kepada seluruh pendokong Pakatan Rakyat khususnya kepada warga Kepala Batas.

“KEADILAN Cabang dan seluruh penyokong PR di Kepala Batas masih tetap berada dalam semangat juang yang tinggi bagi meneruskan agenda Pakatan Rakyat menuju Putrajaya,” kata beliau.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=31244

No comments: