Janice Lee 'Saya Tidak Dimaklumkan'.



SHAH ALAM, 26 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Janice Lee hari ini mendedahkan bahawa beliau dan wakil kerajaan Selangor sebenarnya tidak dimaklumkan berkenaan majlis penerangan berhubung pembinaan kabel berkuasa tinggi di sekitar Cheras yang diadakan semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan Adun Teratai itu sekaligus menyangkal dakwaan jawatankuasa bertindak yang menyatakan wakil kerajaan Selangor gagal hadir untuk mendengar rungutan penduduk.

Malah, Janice ketika dihubungi berkata, beliau sebenarnya tidak pernah menjemputnya untuk menghadiri majlis penerangan yang diadakan semalam.

Justeru jelasnya, dakwaan yang dilontarkan kepadanya itu disifatkan sebagai 'sandiwara' dan berbaur konspirasi yang boleh menggugat kredbiliti kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Mereka (jawatankuasa bertindak) menghantar faks ke pejabat saya pada 22 Disember selepas jam 6 petang di mana pada waktu itu pejabat telah ditutup sempena cuti tahunan.

Pejabat saya ditutup bermula 23 sehingga 26 Disember dan perkara itu telah dimaklumkan menerusi twitter saya. Kalau betul mereka mahukan saya hadir ke majlis penerangan itu, mereka boleh menghubungi saya sendiri atau tukar ke tarikh lain yang dipersetujui semua pihak," tegasnya.

Beliau turut beranggapan adalah tidak adil untuk melemparkan tuduhan dan dakwaan sedemikian kepadanya memandangkan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenai perkara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap jawatankuasa bertindak itu boleh meminda majlis penerangan itu ke suatu tarikh baru yang akan dipersetujui semua pihak.

"Ini semua bagi saya adalah agenda politik dan tidak adil bagi saya. Parti komponen DAP juga ada menghubungi saya dan mereka turut memaklumkan perkara sama kepada saya bahawa mereka tiada wakil untuk dihantar memandangkan sekarang musim cuti," katanya lagi.

Kegagalan wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) hadir dalam majlis penerangan berhubung pembinaan kabel berkuasa tinggi di sekiar Cheras mendatangkan kemarahan kira-kira 500 penduduk yang membantah projek itu.

Majlis penerangan itu dianjurkan oleh jawatankuasa bertindak yang baru ditubuhkan dengan mengumpulkan penduduk di Cheras Hartamas dan Taman Bukit Segar Jaya dalam kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Mereka berharap wakil TNB akan hadir bagi mendengar rungutan mereka.

Penduduk kedua-dua tempat itu pada Rabu lalu berkumpul di bangunan pentadbiran TNB di Shah Alam dan ibu pejabatnya di Bangsar bagi menyatakan bantahan dan menghantar undangan ke majlis penerangan yang diadakan semalam.

Kabel berkuasa tinggi ini dibekukan sejak Oktober selepas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan TNB berunding dengan penduduk terlebih dahulu.

No comments: