SHAH ALAM, 13 DIS : Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) akan mengadakan sebuah aktiviti Flash Mob bagi menuntut kebebasan akademik di KL Sentral esok.
Pengerusinya, Ahmad Safwan Anang berkata pihaknya akan mengunakan pendekatan 'silent protest' dengan memakai topeng muka dan 'play card' sebagai gimik Kebebasan Akademik.
"Sekurang-kurangnya pihak kami mensasarkan kehadiran 100 mahasiswa bagi tujuan ini selain mempromosikan Himpunan Kebebasan Akademik yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 17 Disember nanti," jelas Ahmad Safwan menerusi satu kenyataan media kepada TVSelangor.
Flash mob yang bertemakan "Bebaskan Akademik" ini adalah untuk melahirkan protes terhadap kekangan akademik yang semakin parah sejak kebelakangan ini seperti kekacauan yang berlaku pada Speakers Corner di UITM Shah Alam tempoh hari.
Ia juga adalah lanjutan insiden gangguan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (UM) pada program Debat Akta Undang-undang Kolej dan Universiti yang diadakan di UM baharu-baharu ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Safwan berkata aktiviti "flash mob" ini juga turut mendapat sokongan daripada seluruh gabungan mahasiswa yang berada di bawah koalasi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).