Kes Azeez Rahim: Wang pendeposit Tabung Haji mesti diutamakan, tiada siapa kebal dari undang-undang

 


Pertuduhan terhadap bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kes membabitkan seorang individu.

Lebih besar daripada itu, ia menyentuh soal amanah, tadbir urus dan bagaimana wang jutaan pendeposit Tabung Haji diuruskan.

Abdul Azeez didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH pada 2014 untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad (PPB), yang menawarkan remunerasi RM690,000 setahun selain kemudahan sebuah BMW 7 Series dan pemandu.

Beliau juga didakwa meyakinkan Lembaga TH meluluskan pelaburan sehingga RM193.5 juta bagi memperoleh 30 peratus pegangan dalam syarikat berkenaan.

Beliau telah mengaku tidak bersalah dan berhak mendapat perbicaraan yang adil.

Proses kehakiman mesti dibiarkan berjalan berdasarkan bukti dan undang-undang tanpa tekanan atau campur tangan politik.

Namun bagi Sheikh Omar Ali, Ahli Dewan Negara dan AJK Eksekutif DAP Pusat, persoalan lebih besar yang perlu diberikan perhatian ialah kepentingan pendeposit.

“Pertuduhan ini tidak boleh dilihat hanya sebagai kes melibatkan seorang individu.

Ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar, iaitu bagaimana wang pendeposit Tabung Haji diurus dan bagaimana keputusan pelaburan dibuat oleh sebuah institusi yang memegang amanah jutaan rakyat Malaysia,” katanya.

Berdasarkan penjelasan kerajaan dan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), bahagian penyelidikan TH pada asalnya menganggarkan nilai pegangan 30 peratus PPB sekitar RM124 juta hingga RM155 juta, sedangkan jumlah pelaburan yang diluluskan ialah RM193.5 juta.

Lebih membimbangkan, proses due diligence dilaporkan dilakukan selepas kelulusan diperoleh dan tidak dibentangkan kepada Panel Pelaburan atau Lembaga Pengarah sebelum perjanjian ditandatangani.

Persoalan ini tidak seharusnya berhenti pada PPB sahaja. RCI telah mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah yang memerlukan penelitian lanjut melalui audit forensik, manakala tujuh daripadanya dilaporkan mengalami kerugian 100 peratus.

Jika ada salah, tegakkan keadilan. Jika ada wang yang boleh dipulihkan, pulihkan.

Jika ada kelemahan sistem, perbaiki. Dan jika ada sesiapa yang bersalah, tiada siapa yang harus kebal dari undang-undang,” tegas Sheikh Omar.

Tabung Haji merupakan amanah jutaan rakyat yang mengumpulkan simpanan sedikit demi sedikit untuk menunaikan ibadah haji.

Justeru, setiap ringgit mesti diurus dengan integriti dan profesionalisme tertinggi.

Keutamaan sekarang ialah memastikan segala kelemahan disiasat, sistem diperbaiki dan, paling penting, setiap usaha dilakukan untuk mendapatkan kembali wang yang menjadi hak pendeposit.



No comments: