Keunikan Enzo bernombor casis 136069 itu bukan sekadar pada warnanya, malah ia pada asalnya ditempah oleh seorang anggota Keluarga Diraja Brunei pada awal 2004.
Menurut laporan Autoevolution, pengeluarannya bermula di Maranello pada 8 Jun 2004 sebelum disiapkan pada Oktober tahun sama dan dihantar ke London.


Tempahan Istimewa Keluarga Diraja Brunei
Ketika Ferrari Enzo dihasilkan antara 2002 hingga 2004, kemasan cat matte hampir tidak pernah digunakan pada supercar keluaran kilang.
Ferrari turut menetapkan pilihan warna yang ketat untuk model berkenaan dengan kebanyakan unit menggunakan Rosso Corsa, Giallo Modena atau Nero.
Bagaimanapun, hubungan lama Keluarga Diraja Brunei dengan Ferrari membolehkan pengecualian dibuat bagi menghasilkan Enzo berwarna Nero Opaco ini.
Keluarga berkenaan dilaporkan membeli ratusan Ferrari yang ditempah mengikut spesifikasi sendiri sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an.

Proses menghasilkan cat matte yang tahan lama ketika itu lebih rumit kerana ia belum menjadi sebahagian daripada kaedah mengecat standard Ferrari. Tiada Enzo lain menerima warna sama selepas unit berkenaan disiapkan.
Dibaik Pulih Dengan Kos €110,000 (RM518,595)
Bahagian dalamannya menggunakan kulit Nero dengan meter berwarna Rosso. Kereta tersebut pernah dilihat digunakan di beberapa kawasan sekitar London termasuk Hampstead, Mayfair dan Knightsbridge sebelum dibawa ke rantau Asia Pasifik.


Enzo itu kembali ke Eropah pada 2022 untuk menjalani proses pemulihan di Carrozzeria Zanasi, pusat membaik pulih yang menjadi rakan pilihan dan bertauliah Ferrari.
Pemulihan berkenaan menelan belanja €110,000 (RM518,595) dan merangkumi penggantian suis yang melekit, lampu hadapan, lampu belakang serta panel kaca pada penutup enjin.
Keseluruhan badannya turut dicat semula menggunakan warna asal Nero Opaco selepas pemilik terdahulu cuba menggilap kemasan matte tersebut sehingga merosakkan permukaannya.


Pemilik berkenaan kemudian memasang Paint Protection Film (PPF) matte bagi menyamarkan tompokan berkilat dan menyeragamkan semula penampilannya.
Enjin V12 NA Menghasilkan 660 PS
Ferrari Enzo ini menerima pensijilan Ferrari Classiche Red Book pada 2022, mengesahkan ia masih menggunakan casis, enjin, transmisi dan badan asal.
Enjin 6.0 liter Tipo F140 B V12 NA menghasilkan 660 PS (651 hp) dan tork 657 Nm.
Kuasa dihantar ke roda belakang menerusi transmisi automated manual electro-hydraulic klac tunggal enam kelajuan yang dikenali sebagai kotak gear F1. Penukaran gear mengambil masa hanya 150 milisaat.
Dengan berat 1,365 kg, Enzo mampu memecut dari 0 hingga 97 km/j dalam masa 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 350 km/j.
Enzo juga menjadi kereta jalan raya Ferrari pertama yang menggunakan brek carbon-ceramic. Sistem yang dibangunkan bersama Brembo itu mengadaptasi teknologi daripada Formula 1.


Nilai Ferrari Enzo Terus Melonjak
Kereta ini pernah dijual menerusi RM Sotheby’s pada Disember 2022 sebelum dihantar ke Kanada dengan bacaan odometer hanya 5,763 km.
Harga jualannya tidak diumumkan kerana proses jualan dibuat menerusi bidaan tertutup. Ketika itu, Ferrari Enzo dalam keadaan concours lazimnya bernilai AS$4 juta (RM16.22 juta).
Selepas itu, ia diselenggara oleh Ron Tonkin Gran Turismo dan Ferrari of Vancouver. Antara komponen yang diganti ialah klac, pam bahan api dan gasket penutup injap sebelah kiri.
Nilai Ferrari Enzo meningkat mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebuah Enzo Giallo Modena daripada koleksi Phil Bachman dijual pada harga AS$17.875 juta (RM72.49 juta).

Lima unit lain pula masing-masing mencatat harga melebihi AS$12.7 juta (RM51.51 juta) dalam beberapa bulan pertama 2026. Malah, Enzo biasa berwarna Rosso Corsa dengan jarak perjalanan yang tinggi turut melepasi nilai AS$12 juta (RM48.67 juta).
Dengan sejarah pemilikan, jarak perjalanan rendah dan statusnya sebagai satu-satunya Ferrari Enzo Nero Opaco keluaran kilang, unit ini dijangka mencatat harga jauh lebih tinggi berbanding Enzo biasa apabila dilelong oleh RM Sotheby’s.

No comments:
Post a Comment